10 Januari 2011

PAS bersikap terbuka kepada semua kaum

05 Safar 1432H.
Oleh : Hazayani Zakaria.

KUALA LUMPUR, 9 Jan: PAS bersikap terbuka kepada semua kaum di negara ini bukan bertujuan meraih sokongan politik semata-mata sebaliknya kerana mengikut perintah Allah Taala, tegas Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Abdul Hadi berkata, Islam sememangnya tidak memaksa penganut agama lain memeluk Islam namun umat Islam diwajibkan menjalinkan hubungan baik sesama manusia tanpa mengira agama, bangsa dan kaum.

"Kita berhimpun di sini untuk melancarkan Sua Kasih kita bersaudara melibatkan semua kaum, bukan secara pandai-pandai diatur oleh PAS.

"Sebenarnya inilah perintah Allah SWT yang menurunkan ajaran Islam. Walaupun kita umat Islam mengakui dan percaya bahawa Islam mengajak kaum yang lain bersama kita dan dalam masa yang sama kita dilarang memaksa pengganut agama lain mengikut agama kita.

“Tapi dalam masa yang sama kita diwajibkan menghubungkan kasih sayang sesama manusia, bukan sahaja terdiri darpada pelbagai kaum dan bangsa bahkan terdiri daripada pelbagai agama," katanya sewaktu menyampaikan ucapan di majlis pelancaran Sua Kasih Kita Bersaudara di tapak Kompleks Pendidikan Titiwangsa, Jalan Gurney, dekat sini petang tadi.

Menurut beliau juga, PAS hanya menjalankan peranannya mewujudkan kemakmuran tanpa diskriminasi kaum seperti yang diperintahkan Allah.

"Peranan manusia di atas muka bumi ini bagi memakmurkannya dan Allah mewajibkan manusia hidup bermasyarakat.

"Allah membahagikan manusia ke seluruh pelusuk dunia, yang hidup di tempat masing-masing, dengan cuaca masing-masing, hasil bumi masing-masing, bangsa dan budaya masing-masing," katanya di hadapan kira-kira seribu tetamu yang terdiri daripada Melayu, Cina dan India.

Program anjuran bersama Lajnah Penerangan dan Dakwah Dewan Muslimat PAS Pusat (LPD DMPP) dan pusat khidmat masyarakat parlimen Titiwangsa itu turut dihadiri Mursyidul Am, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan pimpinan-pimpinan yang lain.

Antaranya setiausaha agung, Datuk Mustafa Ali, Naib Presiden, Datuk Mahfuz Omar, bendahari, Dr. Mohd Hatta Ramli, Ketua Muslimat, Nuridah Salleh dan beberapa pimpinan lain.

Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) daripada beberpa negeri juga memenuhi majlis dengan diketuai pengerusinya, Hu Pang Chau.

Sementara itu, ahli Parlimen Titiwangsa, Dr. Lo' Lo' Ghazali yang juga ahli jawatan kuasa muslimat PAS Pusat berkata, program tersebut terlaksana di atas kesedaran peri pentingnya mewujudkan persaudaraan sesama manusia, bukan lakonan untuk meraih sokongan rakyat.

"Kita tidak bercakap retorik, kita tidak berbelanja jutaan ringgit, kita tidak ada penasihat daripada Apco yang dibayar berjuta ringit untuk melahirkan satu suasana kasih sayang antara satu sama lain.

"Kita tidak boleh pilih nak jadi orang Melayu ke, orang Cina ke, India ke. Ini bukan pilihan kita tapi daripada Allah. Jadi tak ada sebab kita nak prejudis antara satu sama lain.

"Tidak ada formula lain untuk mewujudkan keharmonian antara kaum selain sifat hormat-menghormati," katanya.

Justeru beliau berkata, jika Pakatan Rakyat diberi peluang memerintah negara ini, segala dasar yang digubal akan mengambil kira kebajikan seluruh rakyat tanpa ada diskriminasi kaum.

"Berilah peluang kepada Pakatan Rakyat untuk membuktikan bahawa kami boleh memastikan setiap rakyat dalam negara kita ini saling berkasih sayang melalui program yang kami disediakan.

"Kalau kami diberi peluang menjadi Kerajaan Pusat, kami akan pastikan seluruh dasar menjurus kepada kebajikan kepada seluruh rakyat tanpa diskriminasi kaum," katanya.

Tiada ulasan: