23 Februari 2011

366 hotel, resort seluruh negara disahkan halal

20 Rabiulawal 1432H. [MOD] -

PUTRAJAYA 23 Feb. - Sebanyak 366 hotel dan resort di seluruh negara telah menerima Sijil Pengesahan Halal Malaysia setakat ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, 77 sijil dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) manakala 289 lagi dikeluarkan Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri (Jain).

"Daripada 366 hotel dan resort tersebut, 273 buah iaitu 74.59 peratus adalah hotel bertaraf tiga hingga lima bintang, 53 buah atau 14.48 peratus bertaraf satu hingga dua bintang, manakala 40 buah iaitu 10.93 peratus hotel bajet yang ada perkhidmatan sajian dan resort yang ada perkhidmatan sajian tanpa penginapan,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Jamil Khir sebelum itu menyampaikan Sijil Pengesahan Halal Malaysia kepada Hotel Pullman dan Hotel Thistle.

Berdasarkan rekod, terdapat 1,574 hotel dan resort di negara ini yang berdaftar dengan Kementerian Pelancongan, yang mana 412 adalah bertaraf tiga hingga lima bintang. - Bernama

Tiada ulasan: