23 Februari 2011

Jangan biarkan Libya bunuh rakyat sendiri

20 Rabiulawal 1432H. [MOD] -

PETALING JAYA, 22 Feb: Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, Liga Arab dan Pertubuhan Negara-negara Islam tidak boleh berdiam diri berpeluk tubuh membiarkan rakyat Libya terus dibunuh oleh pemerintahnya sendiri.

Sehubungan itu, PKR juga mendesak Kerajaan Malaysia yang menganggotai PBB, NAM dan OIC supaya berperanan tegas dalam menangani isu-isu seperti itu.

Ketua Penerangannya, Dr Muhammad Nur Manuty berkata, pihaknya menuntut pemerintah Libya segera menghentikan tindakan zalim membunuh rakyat secara beramai-ramai.

Katanya, PKR yakin bahawa rakyat Libya berupaya menentukan nasib mereka sendiri tanpa campur tangan mana-mana pihak yang berkepentingan.

PKR juga, ujarnya menyeru seluruh lapisan masyarakat antarabangsa mengambil tindakan segera bagi menghentikan pelbagai tindakan tidak berperikemanusiaan.

“Parti Keadilan Rakyat berasa amat sedih dan memandang serius perkembangan politik yang sedang berlaku di Libya sekarang ini,” ujarnya dalam kenyataan ang dikeluarkan di sini.

Tambahnya, rakyat yang bangkit menentang pemerintah kuku besi berhadapan dengan tindak balas pihak berkuasa yang tidak berperikemanusiaan.

Jelas sekali, tegasnya pemerintah Libya secara terbuka telah mengisytiharkan perang terhadap rakyatnya sendiri.

Justeru, PKR ingin menzahirkan sokongan terhadap rakyat mana-mana negara sekalipun yang bangkit menyatakan bantahan mereka terhadap pemerintah yang zalim.

“Kebebasan bersuara merupakan hak asasi rakyat.

“Pemerintah bertanggungjawab memastikan bahawa hak yang dijamin masyarakat antarabangsa ini dihormati dan dilaksanakan,” katanya lagi.

Harakahdaily/-

Tiada ulasan: