22 Februari 2011

Calon Hilang, Masturah Abu Bakar Menang Kerusi MPP UM

19 Rabiulawal 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR 22 FEB : Masturah Abu Bakar, calon Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Malaya (MPPUM) yang hilang Jumaat lepas, menang dalam pemilihan itu hari ini.

Pada pemilihan itu, Pro-Mahasiswa yang turut diwakili Masturah, 22,mengungguli apabila menang 23 daripada 41 kerusi yang dipertandingkan manakala 18 lagi dimenangi Penggerak Mahasiswa.

Pro-Mahasiswa menyapu bersih sembilan kerusi umum dan memenangi 14 kerusi fakulti, manakala Penggerak Mahasiswa mendapat 18 kerusi fakulti.

MPPUM menawarkan 43 kerusi untuk diisi wakil umum dan wakil fakulti, namun dua kerusi tidak dipertandingkan kerana Institut Pengajian Siswazah (IPS) ketiadaan calon, menjadikan jumlah kerusi yang dipertandingkan hanya 41.

Keputusan pemilihan 2010/2011 diumumkan Naib Canselor UM Profesor Datuk Dr Ghauth Jasmon di Akademi Pengajian Melayu universiti itu hari ini.Seramai 12 calon fakulti menang tanpa bertanding.

Timbalan Naib Canselor UM Profesor Datuk Dr Rohana Yusof berkata pemilihan itu diadakan bagi memilih 41 lagi wakil mengisi 52 kerusi untuk mewakili sejumlah 28,000 pelajar.

Beliau berkata pemilihan bermula sejak 9 pagi tadi, dan semua pusat pengundian di 18 lokasi di kampus UM ditutup pada 5 petang.

"Selepas ditutup, peratus mahasiswa universiti yang keluar mengundi ialah 67.1 peratus dan kita gagal mencapai sasaran iaitu sebanyak 70 peratus," katanya kepada pemberita.

Dr Rohana berkata pihak universiti akan melihat semula perjalanan pemilihan kali ini untuk mengenal pasti faktor yang menyebabkan sasaran peratusan kelua rmengundi tidak dapat dicapai.

Sementara itu, Masturah yang ditemui tengah malam tadi selepas hilang sejak Jumaat, hadir ke Akademi Pengajian Melayu untuk mengundi pada pemilihan itu kira-kira 1 tengah hari dengan ditemani ibu bapanya.

Dalam sidang akhbar selepas mengundi, ibunya Mariam Abdul Rashid, 51,berkata mereka tidak menolak kemungkinan kehilangan Masturah adalah disebabkan pemilihan tersebut, namun beliau enggan membuat sebarang andaian.

Beliau turut memohon pihak lain tidak membuat sebarang andaian berhubung kehilangan Masturah dan memanipulasi kes itu kerana ia merupakan kejadian tragis kepada keluarganya.

Masturah yang hadir pada sidang akhbar berkenaan, bagaimanapun tidak membuat sebarang kenyataan. Mariam berkata Masturah, yang mengikuti pengajian di Akademi Pengajian Islam, ditemui kira-kira 12.20 malam tadi berhampiran Masjid Teras Jernang di Bangi dalam keadaan lemah selepas hilang sejak Jumaat ketika keluar membelitambah nilai kad prabayar di Pangsapuri Pantai Perma, Pantai Dalam di sini.

"Dia masih tidak sedar apa yang berlaku pada dirinya sejak hilang, dan (berada) dalam keadaan trauma, kita tunggulah masa yang sesuai bila pihak media boleh bertanyakan soalan kepadanya," katanya.

Tv Selangor/-

Tiada ulasan: