06 Rabiul Awal 1432 H.
Oleh : Ahmad Lutfi Othman.
Kebangkitan rakyat Tunisia sehingga dapat menggulingkan diktator Zine El Abidin Ben Ali dalam waktu begitu singkat kini menjalar ke Mesir, dan berpotensi cerah meranapkan banyak lagi pemerintahan kuku besi di rantau Arab. Siapa pun tidak dapat menduga, anak-anak muda yang membesar dalam ledakan dunia maklumat tanpa sempadan, yang sentiasa dikongkong dan dikurung oleh budaya takut, berjaya menghalau Ben Ali dan keluarga.
Di Timur Tengah, hampir semua kerajaan yang memerintah tidak dipilih rakyat melalui sistem demokrasi. Sama ada ia sebuah republik atau sistem monarki, memihak Barat atau memusuhinya, mengadakan hubungan dengan Israel atau tidak, namun rakyatnya sentiasa ditindas dan dinafikan hak. Elit penguasa membolot dan menimbun kekayaan untuk diri, keluarga dan kroni. Negara kaya tetapi majoriti penduduknya merempat. Pengangguran, kemiskinan dan rasuah bermaharajalela. Manakala maruah umat tergadai dengan pergantungan kepada kuasa-kuasa luar.
Tumpuan kini tertumpu ke Mesir. Regim zalim Hosni Mubarak, yang menjadi sekutu rapat Amerika Syarikat dan zionis Israel hanya menunggu masa untuk runtuh. Diberitakan keluarga presiden yang memerintah selama 30 tahun itu sudahpun melarikan diri ke luar negara. Hosni tidak berupaya lagi membendung amarah rakyat, yang terus melancarkan protes tanpa henti biarpun berdepan risiko tinggi. Medan Tahrir menjadi saksi pertumpahan darah tidak dapat dielakkan, apatah lagi rakyat berdepan dengan dalang keganasan yang dicetuskan Parti Nasionalis Demokratik pimpinan Hosni.
Keaiban detik-detik akhir kehidupan presiden sebelumnya, Anwar Sadat yang dibunuh di hadapan publik dan disiar secara langsung televisyen, mungkin berulang kepada Hosni. Anwar ditembak mati seorang anggota tentera, Leftenan Khalid Islambouli ketika beliau berdiri menerima tabik hormat daripada perbarisan ketenteraan pada 6 Oktober 1981. Ia berpunca daripada kemarahan rakyat terhadap perjanjian Mesir dengan Israel, dalam Perjanjian Kem David, selain penentangan terhadap amalan rasuah dan kenaikan harga barangan.
Apabila rasa gentar dan takut sudah hilang daripada sanubari rakyat tertindas, tiada apa lagi yang mampu menghalang tercetusnya revolusi dan pemberontakan. Regim yang diperkasakan oleh pasukan keselamatan, khususnya polis rahsia yang dulunya digeruni kini terpaksa melutut dengan suara keramat rakyat. Pukulan belantan, perintah darurat, arahan berkurung, tembakan gas pemedih mata, peluru getah hatta ratusan kes pembunuhan oleh agen pemerintah; semuanya dianggap enteng apabila kepompong budaya takut pecah berkecai.
Malah balai polis diserbu penunjuk perasaan dan mereka bertindak nekad membakarnya. Satu simbol nyata bahawa ketakutan yang membungkus gerak kehidupan rakyat selama ini telah turut terbakar. Rasa hormat dan maruah diri yang dipijak-pijak sejak sekian lama mula bangkit mengisi roh generasi baru rakyat Mesir. Mereka kini sedang berusaha mencipta sejarah, bukan hanya untuk membebaskan negara yang "terjajah" sekian lama, juga bagi membawa obor semangat buat negara-negara jiran dan ummah seluruhnya.
Sejarah pembebasan negara-negara Arab, termasuk Mesir dan Tunisia, daripada belenggu penjajahan, memang luar biasa. Pengaruh Mesir terhadap orang-orang Melayu juga tidak kurang hebatnya. Akhbar-akhbar Melayu, seperti al-Ikhwan, Saudara, al-Imam, Idaran Zaman dan Suara Melayu sejak awal abad 20 telah melaporkan pergolakan politik dan gerakan kebangsaan rakyat Mesir. Nama-nama pejuang dan pemikir Islam seperti Jamaluddin Al-Afghani (1838-1897), Muhammad Abduh (1849-1905) dan Rashid Ridha (1865-1935) tidak asing lagi kepada orang Melayu, yang seterusnya menimbulkan polemik Kaum Muda di Tanah Melayu.
Menurut Prof Dr Mohammad Redzuan Othman dalam bukunya, Islam dan Masyarakat Melayu; Peranan dan Pengaruh Timur Tengah, gerakan Pan-Islamisme yang dipelopori Jamaluddin Al-Afghani telah mencetuskan kesedaran kebangsaan rakyat Mesir. Ketika di Mesir, Afghani berjaya mempengaruhi generasi muda dan ramai pengikutnya muncul memainkan perana penting dalam perkembangan sejarah Mesir moden. Gagasan ideanya -- yang menyeru umat Islam kembali kepada ajaran sebenarnya -- lebih berpengaruh jika dibandingkan dengan pergerakan nasionalisme Arab atau Mesir.
Selain itu, dua institusi besar Mesir yang juga cukup dekat-akrab dengan masyarakat Islam di Malaysia ialah Universiti Al-Azhar dan gerakan Islam, Ikhwan Muslimin. Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat merumuskan: "Itulah hebatnya Mesir. Bumi anbiya' yang dipilih Allah SWT untuk menjadi tuan rumah kepada universiti tertua di dunia ini telah melahirkan generasi ulama terbilang yang bertebaran menyebarkan ilmu ke serata dunia."
"Sayangnya," tambah Ustaz Nik Aziz, "Mesir hari ini ditadbir oleh rejim diktator yang sedikitpun tidak mencerminkan kemuliaan Universiti al-Azhar. Lihatlah bagaimana Syed Qutb telah dibunuh dengan kejam hanya kerana menulis kitab Maalim fit Tariq dan tafsir Fil Zilal al-Quran."
Isu Palestin juga begitu dekat dengan umat Islam sedunia dan rakyat negara ini. Di kala zionis Yahudi bertindak zalim sewenang-wenangnya, dibantu pula oleh Amerika Syarikat, maka peranan negara-negara jiran, sekurang-kurangnya untuk tidak sama-sama menekan amat diharapkan. Mesir pula pernah menunjukkan komitmen dan kekuatannya untuk berperang dengan Israel.
Malangnya Mesir mengkhianati amanah dan harapan ummah. Ia turut melakukan pengepungan ke atas wilayah Gaza, Palestin. Talian hayat rakyat Palestin dipotong. Bantuan dunia luar tersekat. Mesir memang terbukti menjadi sekutu rapat dan talibarut Israel memerangi kumpulan Islam di Gaza. Benarlah rumusan Ustaz Nik Aziz:
"Sesungguhnya tangan Hosni Mubarak ialah tangan berlumuran dengan darah rakyat Palestin. Kekuasaannya tegak di atas susunan tulang tulang para ulama yang dikorbankan demi untuk memenuhi tuntutan hawa nafsunya."
Secara peribadi, saya lebih terasa intim dengan Ikhwan Muslimin (ditubuhkan pada 1927, di Isma'iliyyah, Mesir), yang dianggap guru buat semua gerakan Islam moden. Saya kira hampir semua aktivis dakwah di negara ini sedikit sebanyak, secara langsung atau tidak langsung, dipengaruhi Ikhwan. Malah kebangkitan harakah Islamiyah di negara-negara lain, seperti Jamaat Islami di Pakistan, Masyumi di Indonesia, Parti Refah di Turki, Parti Islam Se-Malaysia (PAS) di Malaysia juga mendapat inspirasi daripada Ikhwan, yang kemudiannya diikuti Hamas di Palestin dan banyak lagi gerakan Islam di seluruh dunia.
Pengasasnya, Assyahid Hassan Al-Banna (14 Oktober 1906 - 12 Februari 1949) dibunuh regim Mesir melalui satu tipu helah jemputan perundingan dengan kerajaan. Imam yang agung itu terkena tujuh tembakan tetapi masih mampu berjalan memanggil ambulan. Bagaimanapun pihak tentera tidak membenarkan doktor merawatnya, sehinggalah Al-Bana sengaja dibiarkan mati dengan tumpahan darah yang banyak.
Tiada sesiapa dibenarkan menguruskan jenazahnya. Hanya ayahnya, Syeikh Ahmad Abdul Rahman, berusia lebih 90 tahun memandi dan mengafankan jenazah Al-Banna. Syeikh Ahmad bersama tiga anak perempuannya mengusung jenazah ke masjid dengan kawalan ketat tentera. Pengikut dan anak murid Al-Banna kemudiannya diburu bagaikan pengganas. Al-Banna bukan sahaja meninggalkan puluhan karya ulung untuk umat, tetapi lebih penting menunjukkan teladan unggul mengatur organisasi secara tersusun bagi melaksanakan perjuangan Islam di medan.
Kisah kezaliman dan penderitaan bukan hanya ditanggung Al-Banna tetapi seluruh generasi Ikhwan seterusnya. Penyeksaan yang ditanggung mereka terlalu perit untuk diceritakan. Penuh dengan air mata, penjara, darah, tali gantung, pengharaman dan pembunuhan kejam. Tokoh-tokoh Ikhwan lain yang harum namanya, dan terus disebut-sebut, selain meninggalkan khazanah pemikiran berharga, seperti Assyahid Syed Qutb, Assyahid Abd Qader Audah, Hassan Hudaibi, Umar Tilmisani, Mustafa Masyhur, Mustapha al-Siba'i, Said Hawwa, Syed Sabiq, Muhammad Al-Ghazali, Yusof Al-Qaradawi dan ramai lagi.
Memang ada pihak yang sangsi, apakah Ikhwan yang sering diperalatkan pemerintah akan "dipergunakan" sekali lagi apabila Mesir berdepan krisis besar? Apatah lagi Mesir merupakan negara paling strategik di Timur Tengah, malah bagi Napolean Bonaparte, ia negara terpenting di dunia. Regim Mesir sentiasa menekan dan menindas Ikhwan, sejak Raja Farouk, Jamal Abdul Nasser sehinggalah Anwar Sadat dan Mubarak. Walhal Nasser dan Sadat merupakan orang yang pernah rapat dengan Ikhwan.
Mohamad Fauzi Zakaria dalam, Aqidah Yang Menggoncang Dunia, yang merupakan kajian di peringkat sarjana terhadap pengaruh pemikiran Syed Qutb, menjelaskan Ikhwan terbabit secara aktif dalam Revolusi Julai 1952 menumbangkan tirani monarki, Raja Farouk. Malahan Syed Qutb ditawarkan beberapa kedudukan penting dalam kerajaan revolusi termasuk Menteri Pelajaran, memandangkan pengalamannya yang luas di bidang pendidikan. Namun beliau menolaknya.
Syed Qutb, dalam satu majlis yang dihadiri para pegawai tentera Mesir menegaskan: "Sesungguhnya revolusi telah berlaku ... keluarnya seorang raja tidak bermakna berakhirnya revovulsi. Bahkan matlamat terakhir revolusi ini ialah mengembalikan negeri ini kepada Islam ... Sesungguhnya diriku semasa pemerintahan beraja telah kusediakannya untuk dipenjarakan. Malah tidak aman diriku pada zaman ini pun untuk terus kusediakannya kepada penjara lebih daripada persediaanku sebelumnya." Dengan spontan, Jamal Abdul Nasser yang turut berada dalam majlis sama mencelah: "Saudaraku Syed, demi Allah, tidakkan sampai kebimbangan itu padamu melainkan langkahnya mayat kami. Kami berjanji padamu dengan nama Allah bahawa kamilah tebusan kepada dirimu sehingga maut!"
Realitinya, apa yang dibimbangi Syed Qutb itu terbukti benar. Atas konspirasi terancang, melalui fitnah terhadap gerakan itu, Ikhwan diharamkan pada 13 Januari 1954, pimpinan dan ribuan anggotanya ditangkap. Kenyataan rasmi regim Nasser, dua hari selepas itu: "Pengumuman penting Majlis Pimpinan Revolusi tentang Ikhwan Muslimin, hubungan mereka dengan Inggeris dan mengadakan pertubuhan sulit di dalam pasukan polis dan tentera dalam usaha menggulingkan kerajaan dengan berselindung di sebalik pergerakan agama." Syed Qutb akhirnya terkorban syahid di tali gantung pada pagi Isnin, 29 Ogos 1966, selepas dua kali dipenjarakan.
Saya yakin, suasana kini sudah banyak berubah. Generasi Ikhwan yang terlatih, berakhlak dan berdisiplin, serta kaya dengan pengalaman -- dibantu arus globalisasi dan dasar langit terbuka yang mempercepatkan proses pendemokrasian dan boleh menyulitkan berulangnya konspirasi jahat terhadap Ikhwan -- pasti bersedia menyumbang khidmat menyelamatkan Mesir secara lebih berkesan. Buat masa ini mereka lebih bersedia menonjolkan Mohamed El-Baradei, penerima Hadiah Nobel Keamanan 2005, ke hadapan. "Kemahuan kami adalah kehendak rakyat," kata salah seorang pemimpin Ikhwan di Kaherah.
Insya-Allah, Ikhwan tidak dapat ditipu lagi, manakala pemimpinnya lebih berhati-hati dan bijaksana membaca realiti bagi mengatur rentak. Imej ekstrimis, militan dan teroris, walaupun masih cuba dipalit ke wajah Ikhwan, namun agak sukar mempengaruhi majoriti rakyat yang sudah bersatu hati menghambat Hosni. Dalam masa sama, dipercayai regim Hosni cuba "bertarik tali" dan berlengah-lengah untuk meletakkan jawatan, bagi mempastikan pembaharuan Mesir tidak diterajui Ikhwan. Pemerintahan Amerika Syarikat yang menyokong transisi politik di Mesir turut meminta Hosni bertahan, bagi memastikan proses pembaharuan berjalan secara lancar dan aman.
Sekiranya pilihan raya adil dan bebas diadakan di Mesir, seperti pernah berlaku di Algeria dan Lubnan, juga seumpama di Turki, Ikhwan seperti gerakan Islam lainnya, akan mendapat sokongan ramai. Cuma, kepentingan Amerika dan Israel (terbukti Ikhwan bersedia bangun menentang Israel termasuk memikul senjata di medan perang) di Mesir jauh lebih besar berbanding Tunisia yang dibiarkan jatuh. Justeru, strategi dan pendekatan terbaik amat diperlukan oleh gerakan Islam masa kini, agar segala ruang sabotaj ditutup serapat mungkin.
Tv Selangor/-

2 ulasan:
Pada pendapat saya , kebangkitan rakyat Mesir bukannya disebabkan oleh pengaruh Ikhwanul Muslimin semata-mata. Ia adalah kebangkitan gelombang baru muda-mudi ummat Islam Mesir. Sebab semua itu berlaku secara serentak yang pihak perintah Mesir (Husni Mubarak) tidak dapat berbuat apa-apa. Sekiranya itu adalah pengaruh Ikhwan 100% , tentu Husni Mubarak dapat membendungnya seperti yang berlaku masa dulu.
Ini adalah kebangkitan yang luarbiasa , tidak disangka-sangka , para intelek bangkit , buruh bangkit , orang bandar dan kampung bangkit , ada juga askar yang turut sama.
Tapi pihak Ikhwan berhati-hati apabila disoal oleh pemberita luar negara , adakah pihak Ikhwan akan memerintah Mesir selepas ini , adakah mereka akan mendesak untuk membatalkan perjanjian damai dengan Israel , adakah Mesir akan diperintah secara acuan fundamentalis ? Para pemimpin Ikhwan berhati-hati menberi jawapan kerana Amerika dan Yahudi akan mencari jalan untuk menyebarkan propaganda anti-Islam.
Tambahan pula pihak CIA , FBI , perisik Israel ada senjata untuk melaga-laga ummat Islam ...soal perbezaan Sunni-Syiah dan Sunni-Wahabi. Contohnya apabila puak Ikhwanul-Muslimin menjadi pemerintah baru Mesir , fahaman Wahabi akan diperkukuhkan dan memberi ancaman kepada fahaman Sunni (ASWJ).
Di Malaysia ini , saya rasa tidak pelik jika ada ulama UMNO yang akan memainkan peranan memberi gambaran kepada ummat Islam Malaysia bahawa orang HAMAS (Palestin) dan Ikhwanul-Muslimin (Mesir) adalah pejuang-pejuang Wahabi. Jadi kebangkitan ummat Arab Mesir , Tunisia dan Yemen serta lain-lain kelak adalah golombang kebangkitan Wahabi.
Pada pandangan saya Ikhwan Muslimin bertindak bijak di dalam situasi ini. Hosni Mubarak, Amerika dan Israel sebenarnya cuba menjebak Ikhwan Muslimin dalam krisis ini, supaya Ikhwan Muslimin dapat dipersalahkan dan tindakan keras boleh diambil. Namun tindakan bijak ini, menyebabkan ketiga-tiga pihak tidak mampu berbuat apa-apa memandangkan dunia melihat Ikhwan Muslimin sebagai organisasi hampir tidak terlibat langsung tunjuk perasaan ini.
Dalam situasi sekarang, rakyat Mesir perlu terus berjuang agar rejim Hosni Mubarak digulingkan sepenuhnya, atau jika gagal padah akan menanti mereka yang tidak mustahil satu per satu mereka yang terlibat di dalam tunjuk perasaan ini dilenyapkan terus dari muka bumi kesan dari pihak rejim.
Catat Ulasan