20 Februari 2011

Teks Ucapan YAB Al-Mursyidul Am PAS di Majlis Perasmian Konvensyen Nasional Pengupayaan Bangsa - Jaminan PAS

17 Rabiulawal 1432H. [MOD] -

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ
ومن آياته خلق السموات و الارض و اختلاف السنتكم و الوانكم انّ في ذلك لايات للعالمين
-سورة الروم : 22


Yang bermaksud : Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah menciptakan langit dan bumi dan berlain-lainan bahasamu dan warna kulitmu. Sesungguhnya pada yang demikan itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang Mengetahui.­

Peserta-peserta konvensyen yang dikasihi sekalian

Alhamdulillah, setinggi-tinggi syukur kita panjatkan kepada Allah SWT yang telah memberikan kita kesempatan untuk bersama-sama berada di dalam majlis perasmian Konvensyen Nasional Pengupyaan Bangsa – Jaminan PAS pada pagi ini. Saya mengucapkan terima kasih kerana dijemput untuk menyampaikan ucapan seterusnya merasmikan konvensyen yang saya sifatkan sangat-sangat bermakna ini khususnya di dalam menangani fitnah dan cabaran yang sedang melanda perjuangan PAS pada hari ini.

Hadirin dan hadirat yang dikasihi sekalian.

Saya ingin memulakan ucapan ini dengan mengingatkan kita semua Islam hadir dengan tidak menjadikan agenda perjuangan bangsa sebagai keutamaan. Islam hadir dengan menjadikan semua manusia menjadi mulia jika menerima Islam sekalipun tidak sebangsa, dan mengajar kita bahawa manusia boleh menjadi hina apabila mengenepikan Islam walaupun sebangsa dan sedarah. Justeru, seringkali saya ulangi apa yang disebut oleh Allah SWT di dalam firmanNya :

ياايها الناس انا خلقناكم من ذكر وانثى وجعلناكم شعوبا وقبائل لتعارفوا ان اكرمكم عند الله اتقاكم ان الله عليم خبير

Yang bermksud : Hai manusia, Sesungguhnya kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa - bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia diantara kamu disisi Allah ialah orang yang paling taqwa diantara kamu. Sesungguhnya Allah Maha mengetahui lagi Maha Mengenal. – Surah al-Hujurat, ayat 13.

Berdiri di atas hakikat inilah, Rasulullah SAW datang tidak dengan misi menegakkan ketuanan Arab, jika itulah yang dibawa oleh baginda, nescaya Islam tidak akan diterima oleh Bilal bin Rabah yang berbangsa Habsyi, oleh Suhaib ar-Rumi yang berbangsa Rom dan juga Salman al-Farisi dari negeri Parsi. Jika misi yang dibawa oleh Rasulullah SAW ialah ketuanan Arab, nescaya Islam tidak akan tersebar ke seluruh dunia merentasi sempadan benua dan tentunya tidak akan sampai ke Tanah Melayu ini. Hakikatnya, Islam datang merentasi darah dan keturunan serta mengenepikan hubungan darah dan bangsa jika memusuhi risalah Islam. Lantas, Abu Lahab dijanjikan dengan balasan api neraka sekalipun merupakan bapa sudara Rasulullah SAW.

Persoalannya, kenapakah Allah SWT menciptakan pelbagai bangsa di dunia? Tidak lain dan tidak bukan ialah untuk berkenal-kenalan dan memanfaatkan perbezaan tersebut untuk kebaikan sejagat. Dalam rumahtangga, seorang lelaki hanya lengkap kehidupannya jika berkahwin dengan seorang wanita yang tentu sekali berbeza jantinanya dengan suami, namun daripada perbezaan itulah rumahtangga saling melengkapi antara satu sama lain. Dalam konteks perbezaan bangsa, ia boleh dimanfaatkan dengan skala yang lebih besar demi kebaikan sejagat. Lihat sajalah bagaimana tentera Islam di zaman Rasulullah SAW menggali parit sekitar Kota Madinah di dalam perang Ahzab semata-mata kerana mengambil pengalaman daripada seorang sahabat yang berbangsa Parsi iaitu Salman al-Farisi.

Hadirin dan hadirat yang dikasihi sekalian.

Jika Rasulullah SAW datang tidak dengan misi ketuanan Arab, begitu jugalah PAS yang mencontohi perjuangan baginda, tidak akan datang dengan membawa agenda Ketuanan Melayu. Soalnya, adakah PAS mengenepikan bangsa Melayu? Inilah tohmahan yang sering dilemparkan kepada PAS seolah-olah Melayu akan mati tanpa UMNO, akan cacat tanpa bantuan UMNO dan akan mundur tanpa pimpinan UMNO. Inilah sebesar-besar khurafat yang cuba ditanam dalam benak minda rakyat pada hari ini. Bagi PAS, Melayu perlu diutamakan dalam agenda dakwah pada hari ini kerana mereka merupakan bangsa yang terdahulu menerima Islam di Tanah Melayu ini. Firman Allah SWT :

وأنذر عشيرتك الأقربين

Yang bermaksud : Dan berilah peringatan kepada kerabat-kerabatmu yang terdekat – Surah al-Syuara’, ayat 214

Ayat ini memerintahkan agar Rasulullah SAW mengutamakan kaum keluarganya terlebih dahulu di dalam menyampaikan dakwah. Perkataan asyirah di dalam ayat ini bukanlah bermakna kaum tetapi bermakna keluarga. Dalam konteks Malaysia, kaum yang paling dominan dengan Islam ialah kaum Melayu sekalipun Islam tidak terbatas untuk bangsa Melayu sahaja.

Perlulah diingatkan bahawa Islam merupakan anugerah daripada Allah SWT. Ia merupakan satu pemberian dan kemuliaan daripada Allah SWT. Menolak Islam dan menerima sekular sebagai ideologi seperti yang dilakukan oleh UMNO pada hari ini bererti menolak kemuliaan yang diberikan oleh Allah SWT. Hakikatnya, UMNO menjaga Islam pun tidak, menjaga Melayu pun jauh sekali. Ini dapat dibuktikan dengan fakta yang didedahkan bagaimana tanah rezab Melayu di seluruh negara susut dari 3 juta hektar pada tahun 1957 kepada 1.7 juta hektar pada tahun 1995. Apakah ini salah satu pembelaaan UMNO terhadap orang-orang Melayu? Bahkan Dasar Ekonomi Baru yang diwujudkan untuk membantu orang-orang Melayu telah digagalkan oleh pemipim-pemimpin UMNO sendiri. Ia digunakan oleh golongan atasan pihak pemerintah untuk memuaskan hawa nafsu mereka membolot kuasa dan kekayaan. Tidak ada keraguan lagi bahawa pengkhianatan ini dilakukan secara sangat sistematik oleh parti-parti komponen kerajaan dengan kerjasama erat diberikan oleh UMNO bagi menindas hak-hak Melayu, Cina, India, Iban dan Kadazan yang sepatutnya mendapat manfaat dari Dasar Ekonomi Baru.

Atas nama manfaat Bumiputera kononnya, prosedur tender yang terbuka, telus, penilaian bebas isu-isu penswastaan, agihan perolehan, semuanya telah diketepikan. Akhirnya yang mengaut kekayaan ialah kroni-kroni tertentu dengan mengenepikan kepentingan rakyat terbanyak. Sebenarnya, inilah Ketuanan Melayu di mata UMNO.

Alhamdulillah, di Kelantan, sekalipun kita mentadbir dengan tidak menyebut Melayu bahkan kita menggunakan dasar Membangun Bersama Islam, ia diterima oleh pelbagai lapisan masyarakat. Golongan non muslim semakin merapati perjuangan kita dan memahami kesucian perjuagan PAS. Slogan Ketuanan Melayu yang dilaungkan oleh UMNO bersenjatakan keris mereka hanya menjauhkan golongan non Muslim dan menyebarkan kebencian sesama rakyat. Dari sudut pembelaan terhadap orang-orang Melayu dan Islam, kita melaksanakan pentadbiran yang berteraskan Ubudiah, Mas’uliah dan Itqan dengan mengingatkan seluruh warga tadbir bahawa setiap gerak kerja yang dilakukan di dunia akan dipersoalkan oleh Allah SWT di akhirat kelak.

Hadirin dan hadirat yang dikasihi sekalian.

Serangan-serangan terhadap PAS pada hari ini sebenarnya membuktikan kegerunan musuh-musuh politik PAS dan kebimbangan mereka sekiranya terlepas teraju kuasa satu hari nanti. Saya yakin insya-allah, fajar yang cerah pastinya akan menerangi kegelapan malam, jika rakyat di Mesir dan Tunisia boleh menjatuhkan diktator di negara masing-masing, saya tidak sedikitpun syak dengan kebijaksanaan rakyat negara ini untuk menukar teraju negara satu hari nanti Insya-Allah. Syarantnya, sediakan padang demokrasi yang adil dan saksama, jangan khianat dan jangan melakukan pencabulan terhadap keadilan, insya-allah kita akan saksikan perubahan ini.

Riak-riak kemenangan itu telah hampir tiba, justeru mereka perhebatkan serangan melalui pelbagai cara dan kaedah. Saya sendiri pun dilabel oleh seseorang sebagai nasionalis hanya kerana memperjuangkan Islam di Malaysia sahaja. Barangkali orang ini lupa bagaimana PAS telah menjalinkan hubungan dengan gerakan Islam di seluruh dunia dan hampir setiap tahun kita bermuktamar dengan disertai oleh wakil-wakil gerakan Islam seluruh dunia.
Bahkan PAS dengan kudratnya sebagai parti politik sampai ke seluruh dunia dalam misi dakwah dan bantuan apabila berlakunya bencana alam dan sebagainya. Saya juga dituduh hanya bertujuan mahu menang pilihanraya, jika demikian apakah salahnya menang pilihanraya, PAS sendiri ditubuhkan untuk menyertai pilihanraya dan menang. Bahkan UMNO sendiri di dalam usaha memenangi pilihanraya melakukan pelbagai cara yang tidak demokratik merentasi sempadan halal haram demi mencapai tujuan mereka.


PAS juga dituduh sanggup berpakat dengan DAP demi untuk memenangi pilihanraya, soalnya PAS telah dimusuhi sekian lama semenjak sebelum PAS bersama DAP dan PKR di dalam Pakatan Rakyat. Bahkan UMNO melakukan kerja-kerja menjatuhkan kerajaan negeri Kelantan semenjak hari pertama saya mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Kelantan. Jika benar UMNO memperjuangkan Melayu, untuk apa kami di Kelantan diperangi sedangkan di Kelantan majoriti pemimpin dan rakyatnya berbangsa Melayu dan beragama Islam?

Hadirin dan hadirat yang dikasihi sekalian.

Justeru, saya sangat-sangat mengharapkan agar Konvensyen Nasional Pengupayaan Bangsa – Jaminan PAS Pusat yang dilaksanakan pada hari ini benar-benar dapat menangkis tohmahan-tohmahan jahat yang dilemparkan kepada PAS dan juga Pakatan Rakyat. Insya-allah, kefahaman yang murni yang disemaikan di dalam minda rakyat akan memberikan mereka pilihan yang terbaik khususnya di dalam usaha menggantikan teraju kepimpinan di Putrajaya, insya-Allah. Saya sudahi dengan :

أقول قولي هذا وأستغفر الله العظيم لي ولكم والسلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Tiada ulasan: