03 Mac 2011

Dr B Chandran tekad bantu PAS

28 Rabiulawal 1432H. [MOD] -

Proaktif tarik bukan Islam

KUALA TERENGGANU – Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP) akan melakukan gerakan secara proaktif kepada bukan Islam khusus di negeri ini berhubung sasaran parti bagi merealisasikan hasrat ‘Pas Ganti UMNO’.

Wakil DHPP Terengganu, Dr B Chandran berkata, pihaknya akan menjalankan kempen penerangan untuk menjelaskan kepada golongan bukan Islam berhubung kepentingan untuk mewujudkan kepimpinan pentadbiran Islam di bawah Pas.

Menurutnya, keyakinan terhadap kerajaan Pas akan dikongsi dengan masyarakat bukan Islam lain yang masih tidak melihat kehebatan Islam mampu mewujudkan keadilan sejagat.

“Kita sebagai orang bukan Islam nampak adanya sebuah kepimpinan Islam yang baik di Kelantan dan kita melihat tiada masalah pentadbiran di negeri itu dan tiada rungutan daripada kaum lain.

“Jadi, kita melihat perlunya sebuah pentadbiran Islam di Terengganu kerana Islam mempunyai ‘standard’ tersendiri.

“Kalau Islam dapat diwujudkan dan ditadbir oleh orang Islam kita yakin orang bukan Islam akan mendapat keadilan sama,” katanya.

Dalam masa sama, beliau mendakwa kerajaan sedia ada tidak mampu memberi keadilan khususnya terhadap kaum India yang memerlukan pembelaan daripada kerajaan.

Beliau menjelaskan, MIC tidak mampu membela kaum tersebut dan mendakwa UMNO parti yang kuat dan mampu mempengaruhi sesuatu keputusan.

“Kita sedar berlaku ketidakadilan sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan apabila mereka tidak prihatin kehendak masyarakat India,” katanya.

Beliau turut mendakwa UMNO tidak menjaga kepentingan kaum Melayu tetapi lebih kepada kroni.

“Dulu kita sokong 110 peratus BN dengan mengharapkan keadilan tetapi itu tidak berlaku,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, pihaknya tiada pilihan melainkan berusaha membantu Pas untuk menubuhkan sebuah pentadbiran Islam kerana yakin hanya pentadbiran Islam sahaja boleh melakukan keadilan.

Beliau juga turut yakin dengan perundangan Islam apabila menganggap tiada perundangan lain yang boleh mengatasi perundangan Islam.

Himpunan berita politik Pakatan Rakyat

Tiada ulasan: