03 Mac 2011

PENDUDUK KAMPUNG PUJUT 7 DIARAHKAN PINDAH SECARA PAKSA

28 Rabiulawal 1432H. [MOD] -

Baru-baru ini rombongan PAS kawasan Miri telah melawat 7 buah keluarga di Kampung Pujut 7, yang telah diarahkan berpindah oleh pihak berwajib dalam tempoh 60 hari ke suatu tempat yang agak terpencil dan tiada kemudahan asas yang sepatutnya telah disediakan. Kisah sedih komuniti kecil itu, yang tinggal di pinggiran sungai Pujut dan berhampiran Jambatan Permyjaya,

telah beberapa kali dilaporkan dalam akhbar sebelum ini dan dalam berita yang berkaitan setinggan Miri, namun tiada usaha dari pihak berwajib untuk membantu meringankan bebanan mereka untuk memindah barang-barang rumah mereka. Mereka berharap ada bantuan dari pihak yang berwajib tetapi sehinggalah arahan pindah dikeluarkan baru-baru ini tidak ada seorang pun dari wakil pihak berwajib datang menolong menyelesaikan masalah mereka, menurut kata mangsa yang diarah berpindah.

Surat arahan berpindah masih ada di Pejabat Tanah dan Ukur (Land and Survey) Miri. Mereka yang terlibat diarahkan berpindah ke Tanah Lot, Desa Indah di Permyjaya, berhampiran dengan EMart. Namun, apa yang menyedihkan mereka tidak diberi sebarang pampasan perpindahan, malah, tanah penempatan baru mereka juga merupakan tanah hutan berpaya yang masih belum sesuai untuk dijadikan tapak perumahan.

Selain itu, segala kos perpindahan rumah dan pembinaan rumah baru tidak dibantu oleh kerajaan. Segala kerja dan kos mengangkut, barang keperluan rumah, kayu, zink dan papan rumah ditanggung sendiri oleh penduduk yang rata-rata merupakan penduduk berpendapatan rendah dan miskin. Ini amat membebankan mangsa yang terlibat terutama sekali mereka yang ramai keluarga serta kurang pendapatan.

Pada 27 Feb yang lepas, suatu lawatan prihatin oleh YB Firdaus Jaafar, Ahli Parlimen Jerai telah diadakan. YB Firdaus, yang ketika itu sedang dalam lawatan kerja beliau di Miri, telah menyampaikan bantuan kepada mangsa yang terlibat. Turut hadir dalam lawatan tersebut Yang diPertua PAS Miri Hj Jofri Jaraiee, Pengerusi dan ahli Dewan Himpunan Penyokong PAS Saudara John dan penyelaras Seketariat Menuntut HAK Tanah Rakyat (HAK) saudara Arif.

Mangsa yang ditemui melahirkan rasa syukur dan gembira dengan lawatan tersebut. Rombongan menyatakan kesungguhan mereka untuk membantu mangsa dengan membawa kes mereka ke peringkat atasan. PAS dan Pakatan Rakyat Miri sentiasa prihatin tentang masalah rakyat yang kurang berkemampuan serta yang dizalimi oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.



PAS Miri

Tiada ulasan: