29 Mac 2011

Kenapa kementerian tidak cermat pilih teks sastera

24 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 28 Mac: Salahuddin Ayub (PAS-Kubang Kerian) mempersoal sikap tidak cermat Kementerian Pelajaran dalam memilih teks sastera sebagai rujukan pelajar tingkatan lima sehingga mencetuskan ketegangan di antara kaum.

Merujuk novel Interlok yang mencetuskan rasa tidak puas hati kaum India kerana penggunaan beberapa perkataan yang didakwa menghina kaum mereka, Salahuddin berkata, jika kementerian bijak membuat keputusan, perkara sebegini tidak akan berlaku.

"Dalam isu Interlok ini kenapa Kementerian Pelajaran tak cermat dalam memilih hasil karya ini. Ada banyak lagi karya sastera mengenai perpaduan yang ditulis sasterawan yang layak dijadikan teks di sekolah.

"Kenapa pilih novel yang boleh mencetuskan perbahasan walaupun itu karya sastera yang membuatkan kita resah hari ini," kata beliau dalam perbahasan di Dewan Rakyat hari ini.

Tanpa menafikan hak seorang sasterawan untuk berkarya mengikut disiplin ilmu yang dipegang, beliau berkata kementerian tidak seharusnya meminta penulis novel tersebut menarik balik perkataan yang terkandung di dalamnya.

"Saya percaya dan yakin dengan disiplin ilmu. Saya percaya karya yang dihasilkan karyawan negara kita, setiap orang berhak mempertahankannya.

"Tapi ketidakcermatan ini bermula dari awal. Kenapa hari ini ada panel kaji Interlok dan kemudiannya minta seniman negara tarik balik perkataan di dalamnya.

"Ini bukan disiplinnya. Mengikut disiplin ilmu, kalau kita tak bersetuju dengan sesuatu karya, tulis buku yang lain. Bukan minta tarik balik perkataan yang boleh menjejaskan kredibiliti sasterawan negara," tegasnya yang juga Naib Presiden PAS.

Menyentuh mengenai subjek sejarah yang akan dijadikan subjek wajib lulus di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), beliau berkata teks sejarah itu harus ditulis tanpa ada usul penipuan fakta.

Teks ini, katanya perlu disediakan oleh panel bebas yang tidak mempunyai apa-apa kepentingan.

"Bagaimana penyediaan teks sejarah itu? Dari mana ia harus bermula? Siapa panel yang bertanggungjawab untuk menggubal atau menyediakan teks sejarah yang bakal dijadikan bahan untuk seluruh pelajar khususnya bagi mereka yang akan mengambil SPM sebagai subjek wajib lulus.

"Sejarah mesti ditulis dengan adil, tepat dan betul supaya setiap rakyat dapat suatu pengetahuan yang akan membentuk minda dan emosi.

Tambahnya, teks sejarah yang sedia ada lebih mengagungkan tokoh barat dan mengenepikan pejuang-pejuang tulen dalam memerdekakan negara.

"Buku teks dahulu banyak mengagungkan tokoh-tokoh penjajah. Tapi apabila kita belajar secara khusus tentang sejarah kita akan mendapati kebanyakan fakta memang tidak adil.

"Sebagai contoh kemerdekaan negara tidak hanya bermula pada tahun 1946 tapi jauh lebih awal dari itu," katanya.

Tambahan pula katanya, dunia hari ini menyediakan pelbagai teknologi yang membolehkan segala fakta didapati di mana-mana sahaja.

"Keluasan ilmu hari ini tidak boleh disembunyikan. Manusia boleh acess dengan hujung jari sahaja.

"Jangan nafikan mana-mana golongan yang memberi sumbangan besar ke arah kemerdekaan negara," katanya.

Harakahdaily/-
Oleh : Hazayani Zakaria

Tiada ulasan: