24 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -
Kasut wanita turut diperiksa kemungkinan terkena bahan radioaktif di sebuah pusat pemindahan di Fukushima.
Tidak sedar bacaan radioaktif 10 juta adalah silap hingga gagal ukur tahap kali kedua
TOKYO: Pengendali loji nuklear Daiichi di Fukushima, Tokyo Electric Power Company (TEPCO) semalam memohon maaf berikutan kesilapan bacaan tahap radiasi berikutan kebocoran di loji terbabit yang dikatakan 10 juta kali lebih tinggi sedangkan parasnya 100,000.
Jurucakap TEPCO Takashi Kurita berkata seorang pekerja di loji itu mengukur bacaan dari sistem pendingin di reaktor nombor 2 lari selepas melihat kadar terlalu tinggi hingga tidak mengambil bacaan kedua.
“Angka itu tidak tepat dan kami amat kesal kesilapan ini,” katanya. Laporan mengelirukan itu menyebabkan kegemparan dan meningkatkan kebimbangan di wilayah yang belum pulih daripada bencana gempa bumi dan tsunami 11 Mac lalu.
Terbaru, TEPCO mengakui cecair raioaktif sudah bocor dari reaktor Fukushima manakala pertubuhan Greenpeace menyatakan ia sudah mengesan paras tinggi radiasi di luar zon keselamatan manakala China menjadi negara terbaru mendedahkan pencemaran radiasi di wilayah utaranya, Heilongjiang, selepas Amerika dan Iceland.
Berikutan itu, pakar memberi amaran bahawa Jepun menghadapi masalah berpanjangan menyekat pencemaran radiasi itu.
“Sebuah negara tidak mampu menguruskannya. Ia memerlukan campur tangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
“Pada pandangan saya, perkara ini lebih penting daripada zon larangan terbang Libya,” kata Najmedin Meshkati dari Universiti Southern California.
Turut menambah kebimbangan, satu lagi gempa bumi melanda lewat semalam pada kekuatan 6.5 skala Richter meskipun tiada kematian atau kemusnahan dilaporkan.
Timbalan Presiden TEPCO, Sakae Muto yang memaklumkan bacaan radiasi dalam satu taklimat juga memohon maaf berikutan kesilapan bacaan itu.
TEPCO melaporkan paras radiasi melebihi 1,000 millisieverts sejam ditemui di permukaan air di kawasan luar reaktor dan bacaan ini adalah sama dengan tahap yang ditemui kelmarin.
Agensi Perlindungan Alam Sekitar Amerika menyatakan satu dos 1,000 millisievert sudah cukup untuk menyebabkan pendarahan.
Bagaimanapun, Ketua Setiausaha Kabinet dan jurucakap kerajaan Jepun, Yukio Edano, berkata kesilapan bacaan yang dinyatakan di loji berkenaan ‘benar-benar tidak boleh dimaafkan’.
“Walaupun saya mengetahui pekerja di loji itu mungkin keletihan, ujian paras radiasi ini amat penting kerana ia akan digunakan sebagai landasan kepada langkah keselamatan yang akan diambil. Kesilapan ini tidak boleh dimaafkan,” katanya. – Reuters/Agensi
Tiada ulasan:
Catat Ulasan