29 Mac 2011

Letupan kilang senjata di Yemen, 70 maut

24 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

ADEN - Satu letupan di sebuah kilang senjata di bandar Jaar, selatan Yemen meragut sekurang-kurangnya 70 nyawa, sementara 90 lagi dilaporkan cedera.

Pegawai kerajaan, Mohsen Salem berkata, kejadian yang turut mengorbankan kanak-kanak itu berlaku sehari selepas anggota militan dipercayai al-Qaeda mencuri di kilang tersebut.

Seorang pegawai keselamatan berkata, letupan berlaku ketika berpuluh-puluh penduduk sibuk mencari senjata di dalam kilang berkenaan, namun punca kejadian masih belum dikenal pasti.

Menurut saksi, kira-kira 30 lelaki bersenjata yang menutup wajah mereka mencuri di kilang tersebut, semalam dan membawa lari empat kenderaan yang sarat dengan senjata.

Kejadian itu berlaku ketika pegawai keselamatan melaporkan bahawa militan al-Qaeda telah menawan Jaar, sebuah bandar terpencil di wilayah Abyan. - AFP

Tiada ulasan: