17 Mac 2011

Pengusaha Barangan Lusuh Temui Bom Lama Di Kedainya

12 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

TELUK INTAN: Seorang pengusaha kedai barangan lusuh menemui sebutir bom mortar dipercayai masih aktif di dalam timbunan barangan lusuh di kedainya di Jalan Maharaja Lela, di sini, Rabu.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Goh Kok Liang berkata, pengusaha kedai terbabit menemui bom tersebut pada pukul 9.30 pagi lalu menghubungi polis.

Satu skuad unit pemusnah bom dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak dipanggil untuk memusnahkan bom berkenaan pada 4 petang ini, katanya.

Goh berkata, bom berukuran 56sm panjang dan mempunyai lilitan 23sm itu dipercayai peninggalan zaman perang dahulu.

Sementara itu, pengusaha kedai barangan lusuh, Borhan Alias, 50, berkata salah seorang pekerjanya menyedari tentang bom itu ketika sedang mengasingkan barangan lusuh di kedai.

Katanya, apabila diberitahu mengenai penemuan bom berkenaan, dia terus mengarahkan semua pekerja keluar segera dari kedai bagi mengelak kejadian yang tidak diingini.

"Saya tidak menyedari bom tersebut turut dibeli ketika melakukan urus niaga dengan penjual besi dan barangan lusuh itu dibeli secara lambakan," katanya.

Borhan berkata, ini merupakan kejadian pertama dia menemui bom di kedainya sejak mula membuka perniagaan itu lapan tahun lepas.

mStar/-

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

layarilah www.freemalaysiakini.com