17 Mac 2011

Pekerja bertungkus lumus kawal loji nuklear walau radiasi meningkat

12 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

TOKYO - Pekerja di loji Fukushima berusaha mengelakkan peleburan nuklear daripada berlaku walaupun selepas dikeluarkan daripada kawasan itu buat sementara waktu sejurus radiasi meningkat kepada tahap yang berbahaya untuk kesihatan mereka, pagi semalam.

Usaha untuk mengawal keselamatan di loji itu disambung semula beberapa jam kemudian bagi menghalang kobocoran radiasi yang lebih serius.

Pengendali loji itu, Tokyo Electric Power cuba menggunakan helikopter untuk menyembur air ke atas reaktor No.4 bagi menghalang kebocoran terus berlaku namun kaedah itu dilaporkan tidak berjaya akibat kehadiran radiasi yang tinggi dalam udara.

Kumpulan pekerja yang terdiri daripada lebih 50 jurutera itu bekerja sepanjang masa bagi memadamkan kebakaran di salah sebuah reaktor dan cuba menyejukkan reaktor lain bagi mengelak peningkatan suhu.

Jurucakap kerajaan, Yukio Edano berkata, Jepun sedang mempertimbang untuk meminta bantuan daripada tentera Amerika Syarikat.

Kesemua enam reaktor nuklear di loji yang terletak di utara Jepun itu rosak selepas gempa bumi sekuat 9.0 pada skala Richter melanda Jepun sehingga mencetuskan tsunami, 11 Februari lalu.

Sehingga kini, lebih 10,000 orang dipercayai terkorban.

Krisis nuklear di Jepun mendapat perhatian dunia sehingga menenggelamkan laporan mengenai usaha mencari dan menyelamat mangsa gempa dan tsunami di seluruh negara itu.
Terdahulu, kerajaan Jepun mengarahkan 140,000 orang yang tinggal dalam jarak 30 kilometer dari loji itu untuk berlindung di dalam rumah selepas tahap radiasi di udara semakin meningkat.

Tokyo, yang terletak lebih 200 kilometer dari Fukushima, mula merasai kesan letupan loji itu apabila tahap radiasi dalam udara dikesan 10 kali ganda lebih tinggi daripada biasa tetapi kerajaan menegaskan ia tidak menjejaskan kesihatan.

Sinar Harian/-

Tiada ulasan: