17 Mac 2011

Kerajaan digesa batal bina loji nuklear

12 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 17 Mac: Sahabat Alam Malaysia (SAM) dan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Kerajaan Malaysia supaya membatalkan rancangan untuk memajukan tenaga nuklear dan pembinaan empangan besar.

Presiden SAM dan CAP, SM Mohamed Idris berkata, berdasarkan apa yang berlaku di Jepun, kerajaan perlu menghentikan dengan segera idea untuk membina loji nuklear dan empangan besar untuk menangani isu “krisis” tenaga.

Pada masa ini, katanya jumlah penggunaan elektrik Malaysia adalah dianggarkan 14,000 megawatt (MW) tetapi negara mempunyai kapasiti bekalan sebanyak 23,000 MW.

Ini, ujarnya memberikan Malaysia margin yang amat selesa memandangkan sasaran kerajaan hanya 20%.

Tambahnya, tragedi yang melanda Jepun menunjukkan bahawa malapetaka boleh berlaku pada bila-bila masa dan di mana sahaja.

Menurutnya lagi, meskipun Malaysia tidak terletak dalam Lingkaran Api Pasifik atau Alpide Belt, ia tidak bermakna bahawa kita selamat daripada bencana alam.

Beliau berkata, plat tektonik sentiasa bergerak dan kemungkinan akan tiba masanya di masa hadapan Malaysia turut didampingi malapetaka semula jadi.

“Kita perlu mengambil iktibar daripada pengalaman lepas dunia yang telah menunjukkan kesengsaraan dan penderitaan yang dialami akibat daripada bencana alam,” ujarnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Jelasnya, daripada semua teknologi penjanaan elektrik, tenaga nuklear merupakan salah satu yang mampu mengakibatkan malapetaka kemalangan.

Menurutnya, mana-mana negara dengan aspirasi nuklear perlu mempertimbangkan risiko bencana kemalangan sebagai sumbangan negatif utama teknologi ini.

“Adakah Malaysia mempunyai kemampuan untuk menangani keadaan malapetaka seperti kebocoran reaktor atau kebakaran loji dan kesannya yang mungkin melampaui ruang dan masa?

“Adakah orang ramai sanggup menerima risiko ini, sedangkan alternatif tenaga yang lebih murah dan selamat adalah wujud?” soalnya.

Di seluruh dunia, katanya orang ramai telah menyedari bahawa terdapat alternatif kepada nuklear dan empangan besar yang lebih selamat, murah dan boleh diperbaharui seperti tenaga solar dan angin.

Bagaimanapun, tambahnya potensi Tenaga Diperbaharui (Renewable Energy - RE) sebagai sumber tenaga yang mapan di Malaysia ditolak berulang kali oleh penyokong tenaga nuklear berdasarkan analisis berat sebelah dan terpilih di pihak mereka.

“Kami percaya dengan rangka kerja peraturan yang berkesan dan sempurna dan fiskal yang betul untuk RE, ia boleh menyumbang dengan berkesan kepada rizab tenaga Malaysia, seterusnya menyangkal keperluan untuk melabur dalam tenaga yang kotor, berbahaya dan mahal seperti nuklear,” katanya lagi.

Beliau berkata, satu cara lagi untuk mengurangkan penggunaan tenaga ialah dengan memperbaiki kecekapan tenaga (Energy Efficiency - EE) dalam semua sektor.

Pada hakikatnya, kata beliau EE merupakan salah satu objektif Dasar Tenaga Negara yang sepatutnya dilaksanakan dalam Rancangan Malaysia Kelapan.

Baginya, usaha oleh Kerajaan Malaysia untuk menggalakkan kecekapan tenaga perlu ditingkatkan kerana ia bergerak terlalu perlahan.

Di samping itu, ujarnya tenaga mampu diri (self-sufficiency) adalah jaminan terbaik sekuriti tenaga.

Ini, katanya boleh dicapai dengan mempelbagaikan tenaga boleh diperbaharui yang mapan pada skala penjanaan mikro, kecil dan sederhana, menurut sumber tempatan yang diperolehi, supaya tenaga digunakan pada titik penjanaan, menjimatkan sehingga 69 peratus daripada tenaga yang hilang melalui pengaliran elektrik jarak jauh daripada loji tenaga berpusat besar dan pengeluaran karbon berkaitan.

“Akhir sekali, menggabungkan langkah kecekapan tenaga (EE) dan tenaga diperbaharui (RE) untuk memenuhi permintaan tenaga akan menghapuskan sebarang justifikasi bagi tenaga nuklear dan empangan besar,” ujarnya.

Harakahdaily/-

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Setuju!....Bom "C4" pun tak selesai lagi. ni pulak nuklear.Ramai pulak yang hancur nanti!