15 Jamadilawal 1432H. [MOD] -
Saya adalah seorang guru yang berijazah Sarjana dan telah berkhidmat lebih dari 6 tahun di Sarawak. Baru-baru ini saya telah membuat permohonan untuk menjawat jawatan pensyarah, tetapi dukacita kerana permohonan saya tersebut telah ditolak sebanyak 2 kali.
Permohonan pertama saya kemukakan kepada UiTM Kampus Samarahan, Kuching Sarawak. Setelah melalui temuduga sebanyak dua kali, saya lulus dalam temuduga tersebut tetapi disenaraikan sebagai calon simpanan. Setelah tamat tempoh menunggu 2 bulan seperti yang dinyatakan di dalam surat (sebagai calon simpanan), saya langsung tidak dihubungi oleh pihak pentadbiran UiTM.
Setelah dihubungi, dukacita dimaklumkan bahawa saya tidak mendapat jawatan sebagai pensyarah di sana dengan alasan ia telah dimasuki atau diambil oleh calon yang dihantar oleh UiTM Shah Alam!
Persoalan yang timbul ialah, kenapa UiTM Shah Alam mengadakan temuduga di sana dan menghantar calonnya ke UiTM kampus Samarahan Kuching sedangkan saya adalah calon yang telah sedia ada dan lulus temuduga di sini!
Permohonan kedua ialah di Institut Perguruan Kampus Batu Lintang,Kuching Sarawak. Saya telah mendapat maklumat bahawa ada kekosongan jawatan pensyarah dan mereka telah pun membuat banyak permohonan tambahan pensyarah tetapi masih tidak dipenuhi dan dilayan sewajarnya.
Justeru itu saya memohon jawatan tersebut, tetapi sangat dukacita apabila permohonan saya itu turut gagal! Alasan permohonan itu ditolak ialah kekurangan guru! Apakah tujuan dan matlamat KPM menggalakkan para guru menaiktaraf atau meningkatkan tahap pendidikan mereka ke peringkat ijazah Sarjana Muda dan Sarjana serta Ph.D sedangkan peluang untuk permohonan jawatan pensyarah seperti ini tidak dilayan!
Yang lebih mengecewakan ialah keputusan menolak permohonan saya ini hanya dibuat pada peringkat JPN sahaja! Kenapa permohonan saya itu tidak dihantar dan dirujuk terus kepada KPM atau KPT diPutrajaya? Kenapa JPN negeri tidak menyokong dan meluluskan permohonan saya sedangkan maklumat daripada rakan-rakan guru yang berijazah Sarjana di Semenanjung yang memohon pertukaran jawatan seperti saya dapat dipenuhi dan diluluskan? Kenapa ada sikap DOUBLE STANDARD dalam hal ini? Adakah ia berkaitan dengan sentimen kenegerian? (kebanyakkan warga Semenanjung di sini di anaktirikan oleh warga Sarawak, mereka lebih mendahulukan anak bangsa sendiri!)
Jika alasan yang diberikan JPN ialah kekurangan guru, adakah tanggungjawab kami para guru untuk mencari dan menyediakan pengganti? Sampai bilakah kami harus menunggu untuk menjawat jawatan pensyarah? Sampai bilakah masalah kekurangan guru di Sarawak ini dapat diatasi? Sudahlah alasan yang sama juga turut diberikan kepada kami apabila kami memohon untuk pulang berkhidmat di Semenanjung! Jadi apakah kesudahan kami di Sarawak ini? Jika beginilah situasinya maka kami pasti akan sentiasa dalam dilema, untuk berpindah balik ke Semenanjung pun tidak dapat dan untuk memohon jawatan pensyarah pun turut tidak diluluskan!
Saya sebagai pegawai kerajaan yang berkhidmat di Sarawak amat mengharapkan pihak KPM dan KPT segera membuat siasatan, pemantauan dan tindakan agar kami semua tidak tertindas dan seterusnya dapat memajukan diri bersesuaian dengan tahap ijazah kami dan ia bertepatan dengan slogan 1MALAYSIA RAKYAT DIDAHULUKAN PENCAPAIAN DIUTAMAKAN!
MUHADHIR,
Kuching, Sarawak.
5 ulasan:
IPTA semestinya mempunyai kriteria tertentu untuk menerima seseorang menjadi pensyarahnya. Jika ada calon yang cemerlang, kenapa pilih calon sederhana? Lebih baik menunggu calon terbaik dari menerima calon sederhana demi nama baik institusi dan pelajar.
Pensyarah IPG dan guru sekolah adalah dari gred yang sama. IPG biasanya menerima guru yang cemerlang dan berpengalaman di sekolah kerana mereka nanti akan mendidik bakal guru yang akan ditempatkan di sekolah biasa.
dari pengalaman dan common sense.......
zaman sekarang kelulusan Sarjana tersebut memang tidak cukup utk menjawat jawatan pensyarah. Kebanyakan universiti mensyaratkan kelulusan PhD utk menjadi pensyarah kerana pensyarah hanya ada Sarjana tidak layak utk menilai thesis Sarjana.
Tak dinafikan UiTM mempuyai ramai pensyarah yg baik seperti Prof Kamil Ibrahim sbg cth.Tapi, UiTM mmg universiti yg dikuasai amalan kronism & penyelewengan. Saya mempunyai sahabat yg ditawarkan jawatan pensyarah & dijanjikan surat tawaran akan tiba selepas lapor diri di salah satu cawangan UiTM. Setelah lapor diri, beliau diberitahu UiTM Shah Alam memberitahu nama beliau tidak ada dlm list. Bygkan dgn mudah saja mereka beri alasan tu selepas sahabat saya tu meletak jawatan sbg seorag guru selepas brtugas selama 7 thn! Mereka tawarkan dia jawatan lecturer pakej yg gajinya dibayar ikut hari yg x lepas utk bayar potongan ANGKASANYAnya pun! Dia sudah brtemu dri penolong pendaftar hinggalah kpd pengarah kampus cawangan tu tapi semua mengecewakan. Ada yg melayannya dgn sinis & menyalahkannya. Xde sorg pun yg meminta maaf atas apa yg berlaku. Skrg sahabat tu dikejar hutang bank, trpksa menumpang sbb x mampu bayar sewa rmh, & byk lagi msalah berangkai akibat dri apa yg berlaku tu. Yg paling best, sahabat saya diberitahu pensyarah di situ, ini bkn kali pertama kes spt itu berlaku. Bagaimana sahabat saya nk menyara keluarganya? Ingat! Allah itu Maha Adil. Hari ini kamu buat pd sahabat saya, esok nasib kamu blum tentu.Wallahualam.
Ijazah sarjana sahaja memang sudah tidak lagi mencukupi utk menjawat jawatan pensyarah di universiti tetapi utk IPG hanya sarjana sahaja. Masalah yang dinyatakan oleh Muhadhir ialah kenapa permohonan ditolak diperingkat JPN Serawak dan tidak dimajukan ke KPM. Penolakan dengan alasan kekurangan guru adalah satu alasan yang sangat dangkal sedangkan saban tahun jumlah guru yang dikeluarkan oleh IPG dan IPTA begitu ramai sekali. Malah ada graduan UPSI yang masih gagal ditempatkan di sekolah walaupun telah tamat belajar selama beberapa tahun.
Guru di sekolah yang memiliki kelayakan sarjana muda dan sarjana semakin melambak jumlahnya di sekolah bukan sahaja di sekolah menengah malah di sekolah rendah pun tetapi peluang kenaikan pangkat ditutup rapat. Apa rasional yang KPM guna? Maka berlakulah Guru Besar gred yang lebih rendah mentadbir guru biasa yang grednya lebih tinggi. Macam koperal tadbir leftenan lah pulak. Sekali lihat dah lintang pukang. Kalau macam tu lebih baik jangan beri kebenaran guru2 sekolah rendah sambung belajar.
Memanglah diakui selain daripada kelulusan pengalaman juga penting tetapi pengalaman dan umur sahaja tidak lagi menjamin individu mampu bersaing dengan peredaran masa. Golongan pentadbir tua di sekolah2 rendah yang tidak terdedah kepada perkara2 baru melalui pembelajaran dah tak dinamik malah kedapatan sesetengahnya macam nak undur kebelakang. Oleh itu dasar ini perlu diUBAH!! dengan cara UBAH kerajaan yang ada ni dengan sebuah kerajaan baru yang diharapkan lebih dinamik drpd kerajaaan pimpinan umnok yang ada hari ini
Biasa la bro di Sarawak ni paling byk amalan kronisme..tgk saja kalo kita penah jumpa satu family keja kat hospital atau keja kat majlis daerah....yg jadi mangsa ialah kita .Org yang tak mempunyai kabel ni...
Catat Ulasan