26 Mei 2011

Biasiswa: Umno-MCA berkelahi teruk

23 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 26 Mei: Pergaduhan Umno dan MCA berterusan dengan akhbar milik Umno mempersendakan Presiden MCA, Datuk Seri Chua Soi Lek dan Ketua Pemudanya, Datuk Dr Wee Ka Siong yang menuduh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) telah menyalahgunakan kuasa dalam pemberian biasiswa dan peruntukan tempat ke universiti.

Perbalahan Umno-MCA timbul sejak Wee mendakwa 363 pelajar yang memperolehi kesemua A+ tercicir dalam senarai biasiswa JPA selepas jaminan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak agar kesemua pelajar yang mendapat 8A+ dan ke atas akan mendapat biasiswa JPA.

“Dalam soal pemilihan ini, JPA hanya bertindak sebagai penyelia dan sesi temu duga dijalankan oleh mereka dari latar belakang akademik yang tinggi serta pelbagai kaum.

“Malah, pemberian biasiswa ini juga terlebih dahulu akan dibentangkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk penilaian dan kelulusan sebelum dilaksanakan,” kata Menteri di dalam Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz yang dipetik Utusan sebagai respons kepada dakwaan MCA.

Sebelum itu, Nazri turut menyelar Wee, sebagai seorang ahli parlimen Barisan Nasional dan Timbalan Menteri memperbesarkan isu ini dengan pergi ke media dan menjerit di umum semata-mata untuk publisiti murahan tanpa datang berjumpanya terlebih dahulu untuk memahami isu sebenar.

“Saya ada ahli-ahli Parlimen pembangkang yang cuba membantu pelajar, datang berjumpa dengan saya... mereka tidak pergi kepada media.

“Tetapi Wee, sebagai MP BN dan seorang timbalan menteri, pergi kepada media dan menjerit di umum untuk publisiti murahan tanpa datang berjumpa saya untuk melihat isu yang sebenar,” kata Nazri.

Mengenai jaminan Najib, Nazri berkata Putrajaya tidak pernah berjanji memberikan biasiswa kepada kesemua pelajar yang mencatatkan keputusan cemerlang sebaliknya kerajaan hanya komited untuk memastikan setiap pelajar cemerlang diberi jaminan tempat di institusi tempatan dan luar negara dengan biasiswa.

Kami tidak pernah kata kesemua pelajar 9A+ akan dihantar ke luar negara. Tetapi kami ada menjanjikan bahawa mereka akan mendapat tempat sama ada di universiti tempatan atau luar negara,” kata Nazri yang jelas tidak senada dengan Najib.

Serangan bertubi-tubi Nazri menyebabkan keadaan MCA semakin tertekan sehingga akhirnya Chua menyerang Nazri kembali bahawa ia agak malang bagi seorang pemimpin Umno untuk tidak memahami ‘peranan MCA’ selama ini.

“Saya tidak mengajar Nazri bagaimana untuk membuat kerja, jika Nazri menjadi seorang menteri kanan tetapi tidak tahu peranan MCA, maka itu adalah agak malang,” kata Chua.

Sementara itu, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng menyelar percakaran Umno dan MCA yang disifatkannya hanyalah satu usaha untuk menunjukkan siapa menjadi wira dalam isu biasiswa JPA tanpa menyelesaikan masalah.

“UMNO dan MCA bercakaran bagi membuktikan siapa yang benar dalam isu pemberian biasiswa JPA yang dilihat seolah-olah tidak mempunyai jalan penyelasaian kerana masih terdapat pelajar cemerlang yang masih tidak menerima biasiswa.

"Masyarakat kini tidak tertarik untuk mengetahui siapa jadi wira tetapi yang nyata wira sebenar ialah mereka yang dapat memastikan kesemua pelajar cemerlang ini boleh menerima biasiswa JPA,” selar Lim dalam satu kenyataannya hari ini.

Tambahnya, masyarakat bertambah keliru apabila kedua- dua Umno dan MCA memberikan jawapan yang berlainan walaupun bernaung di bawah Menteri dalam Kabinet yang sama.

Kekeliruan ini akan menjadi lucu jika difikirkan, kata beliau yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang, namun fakta sebenar ialah pelajar-pelajar cemerlang yang tidak bersalah akan menjadi mangsa atas pertelingkahan di antara Umno dan MCA.

“Sekiranya MCA benar, mengapa tiada tindakan diambil ke atas pegawai kerajaan yang gagal memberikan biasiswa kepada pelajar cemerlang dan memperbaiki kesilapan dan memberikan biasiswa kepada pelajar yang layak dengan segera?

"Namun jika UMNO benar, MCA kemudiannya harus meminta maaf kepada pelajar dan mendesak Umno untuk mengubah polisi bagi memastikan biasiswa JPA diberikan kepada semua pelajar cemerlang tanpa mengira agama atau pun bangsa,” ujar beliau.

Harakahdaily

Tiada ulasan: