23 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -
SHAH ALAM 26 MEI: Piawaian keselamatan negara China bukan pilihan bagi panel Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) untuk mengukur tahap keselamatan dalam menentukan masa depan kilang memproses nadir bumi Lynas di Gebeng, Pahang.
Ini berikutan piawai keselamatan negara itu sering dipertikaikan antarabangsa sejak 2002 dan diakui sendiri oleh Lynas atas alasan tidak mengikut standard.
Jurutera nuklear Ahmad Bungsu Hamid Tuah berkata, faktor geografi di daerah Gabeng merupakan aspek utama yang perlu diberi perhatian oleh panel tersebut.
Ini kerana menurutnya, jarak 30 kilometer radius untuk menempatkan kilang itu tidak akan menjamin tahap keselamatan penduduk.
Beliau yang dihubungi Tv Selangor mendakwa Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB) sehingga kini masih belum mengemukakan sebarang maklumat tentang penanda aras yang akan dijadikan rujukan untuk menilai tahap keselamatan sekiranya projek itu diteruskan.
"AELB kata buat masa ini mereka tidak ada lagi standard tapi mahu ikut China. Tapi Lynas cakap syarikat China tidak mengikut standard dan sudah dikenakan tindakan pada 2002.
"Kita tanya AELB pakai piawai mana? Amerika Syarikat memang tidak lulus untuk buat di sini (Malaysia) sebab kalau ikut piawai mereka perlu di kawasan gurun sepeti Nevada yang beribu batu tiada orang," katanya.
Lynas Corporation Ltd of Australia merancang untuk menyiapkan pembinaan loji utamanya menjelang September ini dengan bercadang untuk memproses bahan mentah (bijih lanthanide) dari Australia Barat untuk dijadikan lanthanides tulen.
Kini ramai pihak yang mempertikai tindakan kerajaan mengarahkan IAEA melantik panel pakar untuk membuat penilaian kesihatan dan keselamatan kerana mendakwa agensi itu lebih bersikap‘pro-nuklear’.
Justeru Ahmad Bungsu menyifatkan cadangan pembinaan loji itu tidak mempedulikan pandangan rakyat seraya memberi kesan buruk kepada negara dalam jangka masa panjang.
"Tiada, sebab itu saya pelik ada faedahnya kita hanya tempat buang sampah sahaja yang mana kesannya akan memakan masa lebih dari 100 tahun. Jadi saya rasa tidak ada satu pun kita untung kecuali bencana sahaja dalam masa panjang," tambahnya lagi.
Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh dalam kenyataan medianya semalam menasihati agar IAEA mematuhi kod keselamatan dalam penilaian untuk menentukan kesan kilang tersebut terhadap kehidupan masyarakat di daerah Gebeng.
Ini kerana menurutnya, maklumat mendapati Jabatan Alam Sekitar Pahang pada 15 Februari 2008 telah meluluskan projek berisiko tinggi itu hanya dalam masa tiga minggu.
“Ini mengukuhkan pandangan saya bahawa kerajaan Malaysia tidak berupaya untuk memantau atau menguatkuasakan undang-undang keselamatan untuk industri seperti LAMP,” kata Fuziah.
Fuziah turut menggesa panel penyelidikan Lynas yang dijadual meneliti isu sekitar pembinaan pusat nadir bumi di Kuantan itu mengdakan sekurang-kurangnya sekali sesi terbuka melibatkan semua pemegang saham.
Menurut beliau, panel berkenaan hanya akan mengadakan beberapa sisi perbincangan tertutup dengan pemegang saham secara berasingan dalam lawatan enam hari bermula 29 Mei hingga 3 Jun depan.
Tv Selangor/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan