26 Mei 2011

Obama : "Kini Masa Bagi AS, Barat Terus Ketuai Dunia"

23 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -

LONDON 26 MEI : Dalam ucapan sulung seorang presiden AS di Westminster Hall di sini, Barack Obama memberitahu ahli-ahli politik Britain meskipun muncul kuasa-kuasa baru seperti China dan India, Washington dan Eropah masih merupakan kuasa utama dunia dan ia perlu diperlihatkan sekarang.

Britain merupakan sekutu rapat AS dalam banyak isu termasuk perang ke atas pengganas sejak sedekad lalu.

Obama berada di Britain lebih tiga minggu selepas ketua rangkaian pengganas Al-Qaeda Osama bin Laden mati ditembak.

Obama berkata pengaruh AS, United Kingdom (UK) dan sekutu-sekutunya kekal “sangat mustahak.”

Presiden itu berkata demikian dalam ucapannya di Parlimen pada hari kedua lawatan beliau ke negara itu semalam.

Bagaimanapun kata beliau, kepimpinan itu perlu berubah mengikut masa untuk menggambarkan cabaran-cabaran ekonomi dan keselamatan.

Laporan BBC berkata ini kali pertama seorang presiden AS berucap di hadapan ahli-ahli Parlimen dan mereka yang sebaya dengannya di Westminster Hall.

Antara hadir pada majlis itu ialah bekas perdana menteri Britain Sir John Major, Tony Blair dan Gordon Brown.

Dalam ucapan 35 minit ini, Obama memberitahu hanya sejumlah kecil negara yang berpendirian tegas, berjuang dengan lantang dan melawan untuk mempertahankan prinsip demokratik di seluruh dunia berbanding AS dan UK.

Oleh itu, katanya, kedua-dua negara itu “sekali lagi berada di detik penting” ekoran kemelesetan global dan konflik bertahun-tahun.

Obama menolak tanggapan bahawa kemunculan kuasa baru seperti China dan India bukan bermakna sudah mula berakhirnya pengaruh Amerika dan Eropah di dunia.

“Hujah itu salah. Ini masa bagi kepimpinan kita,” katanya lagi.

“AS, UK dan sekutu-sekutu demokratik yang mencorakkan dunia di mana negara-negara baru boleh muncul dan individu boleh berkembang subur,” katanya lagi.

Tv Selangor/-

Tiada ulasan: