26 Mei 2011

Auku: 17 pelajar UM dibebaskan

23 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 26 Mei: “Pertamanya, saya mengucapkan syukur ke hadrat Ilahi kerana sekali lagi, kuasa Allah terbukti adalah yang Maha Hebat dan Maha Adil,” kata Izzuddin Hilmi Mohd Zaini.

Mahasiswa tahun akhir Universiti Malaya (UM) itu menyatakan demikian setelah dibebaskan daripada disabitkan dengan hukuman Akta Universiti dan Akta Universiti (Auku).

“Setelah keputusan diumumkan, ternyata saya dan rakan-rakan saya lain terbukti tidak melakukan kesalahan yang boleh disabitkan dengan hukuman Akta Universiti dan Akta Universiti (Auku) yang diwujudkan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad,” ujarnya.

Semalam, beliau antara enam siswa lain telah dibicarakan oleh barisan Jawatankuasa Tindakan Tatatertib UM di Bilik Mesyuarat HEP di Kompleks Perdanasiswa UM.

Itu pun setelah perbicaraan ditangguhkan dua kali di mana sebelum ini pada 20 Mei dan 23 Mei lalu.

“Dan kami dibacakan segala pertuduhan termasuk seorang rakan baik saya, Mohd Sabri (Jamaluddin) yang dikenakan tujuh pertuduhan.

“Alhamdulillah, setelah semuanya dibaca dan disoal jawab (prosiding bermula 2 petang hingga malam), saya dan rakan-rakan dengan lindungan Allah telah dibuktikan 'tidak layak' untuk disabitkan kesalahan di bawah Auku,” jelasnya yang juga Setiausaha Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM).

Keputusannya ialah seorang pelajar digugurkan kes kerana telah bergraduasi tahun lalu, Qayyum Suhaimi, lima pelajar dibebaskan tanpa sebarang amaran kerana tiada bukti, dua pelajar didenda RM200 serta amaran keras (Izzuddin Hilmi dan Sabri Jamaluddin) dan sembilan pelajar dikenakan amaran awal.

Antara saksi yang sering kali dipanggil masuk untuk disoal jawab oleh panel adalah Ketua Pengarah Keselamatan UM, Mejar (B) Mohd Nor Othman dan Wahyu dan beberapa lagi yang lain.

“Yang saya nak tekankan kat sini, mengapa kami dikenakan pertuduhan setelah hampir 3 bulan kes itu berlaku, kes di pilihan raya kampus Februari lalu.

“Dan andai kata nak dikatakan 3 bulan diambil untuk mengumpul bukti kukuh, saya ada beberapa persoalan yang perlu dijawab semua pihak,” katanya.

Beliau mempersoalkan mengapa lima siswa dibebaskan kerana tiada bukti kukuh dan atas sebab apa kelima-limanya dituduh.

Soalnya, adakah sekadar ingin 'memperkenalkan' mereka kepada umum dan kami juga dibebaskan dengan hukuman masing-masing (denda dan amaran).

Atas sebab apakah seorang graduan, Abdul Qayyum Suhaimi (Graduasi 2010) turut diberi surat amaran dan diminta hadir prosiding kemudian digugurkan kes.

Ini, katanya sedikit sebanyak memberi seribu satu persoalan kepada mereka kerana kesalahan pada tahun 2011 tetapi turut diberi surat amaran.

Soalnya lagi, mengapa setiap kali prosiding, munculnya dua orang kanan TNC iaitu Rozaini dan Imran Nul Hakim Derasip.

“Apakah autoriti pegawai-pegawai HEP terbabit dalam kes ini?

“Adakah pihak TNC HEP, Datuk Rohana akan membuka kembali kes ini untuk membuat rayuan terhadap keputusan barisan panel?” tanya beliau.

Katanya, pihak universiti seharusnya menggunakan proses budibicara untuk menyiasat pertuduhan ke atas mereka sebelum mendakwa ke kamar prosiding.

“Mengapa kami terus diheret tanpa sebarang budi bicara?” soalnya lagi.

Menurut Izzudin lagi, antara pertuduhan yang dikenakan ke atasnya saya dan seorang rakannya adalah ketika pertemuan dengan Rohana bagi membincangkan pelbagai perkara di biliknya ketika pilihan raya lalu.

“Mengapa pertemuan itu pun ingin didakwa ke atas kami?

“Di peringkat kami, kami meminta penjelasan terperinci terhadap segala pertuduhan yang dikenakan ke atas kami,” katanya.

Harakahdaily

Tiada ulasan: