26 Mei 2011

Piala Sudirman: Malaysia Kalah 2-3 Kepada Indonesia

23 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR 26 MEI : Malaysia menempah laluan berduri pada suku akhir badminton Piala Sudirman apabila gagal muncul juara Kumpulan B selepas kalah tipis 2-3 kepada Indonesia dalam perlawanan sengit di Qingdao, China.

Walaupun dua kali mendahului 1-0 dan 2-1, namun Indonesia berjaya menyamakan kedudukan 1-1 dan 2-2, sebelum mengesahkan kemenangan menerusi beregu campuran, Fran Kurniawan-Pia Zebadiah Bernadet yang menundukkan pasangan muda negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying 21-18, 21-15.

Menamatkan cabaran selaku naib juara kumpulan bermakna Malaysia berpotensi menentang pilihan utama dan juara tujuh kali, China, bergantung kepada undian yang bakal dijalankan Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Koo Kien Keat-Tan Boon Heong menghadiahkan mata sulung negara menerusi selepas menang mudah 21-15, 21-17 ke atas Alvent Yulianto-Mohamad Ahsan, namun Adri yanti Firdasari menyamakan kedudukan 1-1 dengan menumpaskan Lydia Cheah 21-8, 21-12 dalam perseorangan wanita.

Jaguh No. 1 dunia, Datuk Lee Chong Wei meletakkan pasukan negara 2-1 di depan apabila menundukkan Dionysius Hayom Rumbaka 21-8, 21-8 tetapi Indonesia kembali menyamakan kedudukan 2-2 selepas Greysa Polii-Meliana Jauhari mengalahkan Wong Pei Tty-Chin Eei Hui 21-23, 14-21, sebelum Peng Soon-Liu Ying tunduk dalam penentuan beregu campuran.

Tv Selangor/-

Tiada ulasan: