Assalamualaikum warahmatullah,
Bahagian Penyelidikan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mendapati tiada persefahaman adalah punca utama perceraian di kalangan pasangan Islam dari 2003 hingga 2004. Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, rumusan itu diperolehi daripada kajian Jakim yang dijalankan pada 2005. Bahagian Penyelidikan Jakim mendapati tiada persefahaman adalah punca utama perceraian di kalangan pasangan Islam dari 2003 hingga 2004.
Di pihak suami, tiada persefahaman merupakan punca utama perceraian iaitu 43.33%; tidak bertanggungjawab (32.93%); masalah akhlak dan sosial (12.03%); masalah pihak ketiga (5.54%) dan masalah ekonomi (2.62%). Bagi pihak isteri pula, punca perceraian kerana tiada persefahaman 69.44%; tidak bertanggungjawab (17.68%); masalah akhlak dan sosial (5.84%); masalah pihak ketiga (4.42%) dan masalah seksual (1.38%). Rekod menunjukkan 135,136 umat Islam berkahwin pada 2009 sementara bilangan yang bercerai pula 27,116 orang. (Utusan 9/12/2010)
Dalam kehidupan berumahtangga, kita takkan dapat lepas daripada berhadapan dengan konflik mahupun pertelingkahan. Sering kali juga keadaan menjadi makin panas bila antara mereka berdua tidak mahu mengakui kesalahan lantaran keegoan diri. Selain apa yang digariskan oleh Jakim itu, saya ingin menambah satu lagi iaitu ego. Sama ada ego seorang suami atau ego seorang isteri atau kedua-duanya sekali, hal ini bukan olok-olok untuk dipandang remeh begitu sahaja.
Maklumlah, zaman sekarang ramai orang berpendidikan tinggi. Apabila kelulusan tinggi jawatannya juga jadi tinggi. Suasana di pejabat selalu dibawa-bawa ke rumah. Apabila sama-sama berjawatan tinggi dan berkelulusan tinggi, cara bercakap pun menjadi begitu tinggi. Sepatutnya apa pun kedudukan anda di tempat kerja, di rumah anda adalah suami isteri. Cara suami isteri berbicara tidak sama seperti seorang bos berbicara kepada orang bawahannya.
Kalau sayangkan rumah tangga kurang-kurangkanlah rasa ego. Bertukarlah sewaktu berada di rumah, sebagaimana iguana menukar warnanya mengikut warna di mana ia berada. Untuk selamat banyak haiwan kecil menukar warna masing-masing; ada yang berupa daun, berupa ranting, kulit kayu dan sebagainya, lalu selamat.
Apabila pulang ke rumah, biarpun anda seorang bos paling besar letakkan kembali diri anda pada heiriki rumah tangga sebenar. Jika suami, jadilah suami bukan bos besar lagi; jika isteri, jadilah isteri penyayang bukan pengarah yang hanya tahu mengarah.
Ketahuilah, ego juga boleh meningkat disebabkan:
- Kecurangan atau wujudnya ‘kekasih gelap’.
- Jahil dalam agama.
- Terlebih keperluan asas dunia, dalam kata lain banyak harta.
- Campur tangan pihak ketiga sebagai penghasut, selalunya juga terdiri daripada ibu bapa dan kawan karib.
Namun begitu, ramai juga antara pasangan yang lembut hati dan takkan senang bila melalui konflik rumahtangga apatah lagi kesalahan itu terang-terangan adalah berpunca dari diri mereka. Lalu apa yang mesti dilakukan? Jangan terus keras kepala atau keras hati mengakuinya, kali ini Laman-Seri kongsikan beberapa tips di bawah :
1 – Jujur menghadapi
Jangan bertangguh atau lari dari masalah meskipun mengetahui ia berpunca dari kesilapan sendiri. Sikap tersebut hanya akan membuatkan masalah bertambah serius. Ungkapkan dengan jujur tanpa berselindung dengan pasangan. Cara ini mempamerkan anda jujur dan membantu pasangan memahami isutasi yang anda hadapi.
2 – Berani akui kesalahan
Kalau sudah silap, jangan pula takut untuk mengakuinya. Walau apa jua masalah yang anda timbulkan, jangan takut atau malu mengakui kesalahan tersebut. Sebagai contoh, sikap anda yang cuai iaitu lupa menutup pintu rumah telah menyebabkan kediaman dimasuki pencuri dan anda mengalami kerugian yang besar. Berani mengakui kekurangan dan kesalahan adalah ciri-ciri orang berjiwa besar.
3 – Memperlihatkan penyesalan
Selepas mengakui kesalahan diri, maka perkara seterusnya yang perlu anda lakukan adalah memperlihatkan penyesalan. Tapi jangan pula ia hanya sekadar lakonan bagi menyedapkan hati pasangan anda. Katakan betapa anda sangat menyesali tindakan menyakiti hati suami atau isteri. Rasa penyesalan yang mendalam dan tulus akan dapat dibaca dari sikap yang anda tampilkan.
4 – Mahu berubah
Jiwa besar untuk mengakui dan menampakkan penyesalan wajib diikuti perubahan sikap dan perilaku. Jika setelah meminta maaf anda tetap melakukan tindakan yang sama dan menyakitkan hati pasangan, permohonan maaf anda ibarat tidak akan memberi apa-apa makna.
Sekiranya kesalahan yang anda lakukan berkaitan dengan kekurangan perhatian terhadap keluarga kerana memberi lebih tumpuan pada pekerjaan, maka usahakan agar ia tidak berlaku lagi. Caranya sama ada anda mengurangkan kerja lebih masa atau pun peruntukanlah masa sepenuhnya pada pasangan dan anak-anak di hujung minggu.
5 – Menyenangkan hatinya
Selepas meminta maaf, bukan bermakna selesailah segala-galanya. Bagi menunjukkan bahawa anda benar-benar menghargai tindakan pasangan memaafkan kesalahan anda, maka lakukan perkara-perkara yang menyenangkan hatinya. Tidak salah jika anda memberikan lebih perhatian dan layanan kepada pasangan, menghadiahkan sejambak bunga atau menunjukkan kecintaan anda yang mendalam terhadap dirinya.
6 – Tidak mengulangi kesilapan yang sama
Berusahalah untuk berpegang pada janji yang telah anda lafazkan pada pasangan untuk memperbaiki diri dan tidak mengulangi kesalahan. Tekad yang sebegitu sebenarnya akan membuatkan anda lebih berhati-hati dalam melangkah.
Terutama sekali jika kesalahan yang anda lakukan itu melibatkan kecurangan. Bayangkan apa perasaan pasangan jika anda kembali bermain kayu tiga selepas beriya-iya memohon maaf. Tentunya selepas ini kata-kata anda tidak akan dipercayai lagi.
7 – Sedia menerima kritikan
Kalau sudah berada di pihak yang salah, maka bersedialah untuk menerima kritikan. Inilah lumrah kehidupan, oleh itu jangan erasa marah atau pun sakit hati. Sebaliknya anda harus berlapang dada dan berfikiran terbuka unutk menerima kritikan tersebut kerana tentunya terdapat kebenaran di situ.
Reaksi pasangan
Meskipun hati berasa kecewa malah juga sakit hati kerana kesalahan yang dilakukan pasangan, tapi berfikirlah secara matang. Jangan terus menyerang atau berdendam dengan pasangan sesudah ia mengakui kesalahannya. Carilah kekuatan dan lakukan tiga langkah berikut :-
1 – Menerima permohonan maaf
Sedangkan Nabi maafkan umatnya, apalah kita sebagai manusia. Lagi pun yang membuat kesalahan itu adalah pasangan sendiri, justeru berilah kemaafan. Katakan dengan terang bahawa anda memaafkan dirinya supaya tidak timbul pula keraguan tentang keikhlasan anda oleh pasangan.
2 – Berikan peluang
Beri peluang untuk pasangan memperbaiki diri terutama jika kesalahan itu pertama kali dilakukannya. Jangan terus memandang negatif dan tidak meyakini dirinya. Sebaliknya sebagai pasangan, anda hendaklah memberikan semangat untuk dirinya berubah jika dia bersungguh-sungguh melafazkan janji.
3 – Jangan keterlaluan
Ada suami atau isteri yang sengaja ‘mendera’ pasangan setelah kesalahan diakui dan permohonan maaf dibuat. Mereka sengaja jual mahal atau tarik tali, dalam memberi respons. Alasannya supaya pasangan dapat pengajaran atas perbuatannya.
Memang benar pasangan melakukan kesalahan, namun anda tidak seharusnya berbuat demikian hingga menyebabkan pasangan berasa jauh hati. Bimbang pasangan membuat tindakan yang kemudian anda sesali.
Buang ego, bangkitkan intim
Dari Aisyah r.a. katanya, "Pada suatu waktu ketika aku sedang haid, aku minum. Kemudian gelasku kuberikan kepada Nabi saw, baginda meletakkan bibirnya di bekas mulutku lalu baginda minum pula. Pernah ketika aku sedang haid, aku makan sepotong daging. Setelah kugigit daging itu kuberikan kepada Nabi saw lalu baginda menggigitnya pula dibekas gigitanku."(Hadis riwayat Muslim)
Jadi, apa pendapat anda sekarang? Sekarang buanglah ego, bangkitkan intim! Yang untung anda juga. Renung-renungkan, semoga bermanfaat....
Rujukan : MW
1 ulasan:
Musuh sebenar adalah diri sendiri. Isteri adalah pakaian suami dan begitu juga disebaliknya. Bila pakaian sudah tak cantik, sebenarnya kita sendirikah yang tidak menarik.
Saling melengkapkan ketidaksempurnaan nescaya memandangnya kita nampak indahnya ciptaan Tuhan dalam menetapkan pasangan. Kenapa mesti bercerai bila ditakdirkan sudah jodoh.
Kita gagahi ketentuan Ilahi kelak nanti terbuka rahsia kenapa dia menjadi jodoh kita. Sabar tonggak berumahtangga.
Pesan orang tua2 jangan dibuang yang pertama, sampai tua tak dapat menempah bahagia.
Catat Ulasan