15 Mei 2011

Hilang selepas Mendengar Suara Pelik

12 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -


TANAH MERAH – Seorang lelaki hilang di kawasan Hutan Simpan Sokor empat hari lalu selepas dipercayai berdepan masalah tekanan perasaan sejak tiga bulan lepas. 

Hanapi Deris, 41, yang masih bujang dikatakan sering menerima gangguan berupa suara tidak diketahui datang dari arah mana yang membuatkannya sering ketakutan dan sukar tidur malam. 

Dikatakan suara tersebut sering memanggilnya pada sebelah petang dan turut diselang-seli dengan suara seolah-olah mengugut mahu memukulnya. 

Difahamkan anak kelima daripada enam beradik ini seorang yang pendiam, serta rapat dengan ahli keluarga berubah menjadi takut terutama dengan orang tidak dikenali selepas menerima gangguan tersebut. 

Abang keduanya, Baharuddin Beris, 58, berkata, berikutan gangguan tersebut juga, Hanapi pernah tidak tidur malam sehingga seminggu sehingga rakannya membawanya ke Hospital Machang untuk mendapatkan rawatan. 

“Selepas mendapatkan rawatan, dia pulih seperti biasa serta dapat bekerja tanpa sebarang gangguan dan diberikan surat untuk membuat rawatan lanjut. Bagaimana dia tidak berbuat demikian sehinggalah gangguan tersebut berulang,” katanya. 

Baharudin berkata, selain mendapatkan rawatan hospital, dia dan keluarga turut berubat secara tradisional bagi memulihkan Hanapi. 

Menurutnya, pada hari kejadian, 11 Mei kira-kira jam 2 petang, Hanapi meminjam motosikal kawannya dan memberitahu hendak ke rumah salah seorang abangnya yang terletak kira-kira 300 meter dari rumahnya. 

“Tetapi dia mengubah haluan ke arah hutan simpan menyebabkan rakannya mengekorinya. Tetapi kelibatnya hilang sekelip mata, motosikalnya berjaya ditemui kira-kira dua kilometer daripada rumah, sementara dia tidak ditemui,” katanya. 

Baharudin berkata, selepas 24 jam usaha mencari Hanapi gagal, dia membuat laporan polis di Balai Polis Kuala Tiga kira-kira jam 3.50 petang, 12 Mei lepas. 

Sehingga kini, penduduk kampung masih berusaha mencari mangsa termasuk dengan menggunakan khidmat bomoh. 

Rakannya, Mohd Nor Azam Hussin,29, berkata, sejak menerima gangguan, Hanapi sering menceritakan masalah tersebut kepadanya dan juga rakan-rakan yang lain. 

Menurutnya, Hanapi sebelum ini sering ke Hutan Simpan Sokor untuk berburu serta menangkap burung. 

“Dua tiga hari sebelum hilang dia ada menceritakan yang dia masih menerima gangguan. Selepas melihat dia mengubah haluan pada hari kejadian, saya terus mengekori kerana bimbang selepas dia menceritakan perkara menimpanya sebelum ini,” katanya.

Tiada ulasan: