15 Mei 2011

Penthouse jadi makmal dadah

12 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -



GEORGETOWN: Berselindung di sebalik pangsapuri mewah, satu rangkaian sindiket memproses dadah didapati menjadikan kediaman terbabit sebagai makmal memproses barang terlarang itu untuk dipasarkan sekitar Pulau Pinang dan negeri lain.

Bagaimanapun, kegiatan sindiket yang memproses dadah dipercayai bernilai jutaan ringgit itu akhirnya tumpas apabila satu serbuan serentak dilakukan sepasukan polis Narkotik Bukit Aman dan Pulau Pinang di enam makmal sekitar kawasan Georgetown, Air Hitam dan Gelugor, Khamis lalu.

Dalam serbuan jam 6 petang, polis menahan 13 ahli sindiket, termasuk empat wanita, selain menemui pelbagai alatan memproses dadah.

Menurut sumber, satu daripada pangsapuri itu adalah jenis ‘penthouse’ yang disewa khas sindiket terbabit dalam sebuah pusat beli-belah di Georgetown untuk dijadikan makmal selain cuba mengaburi mata ramai ketika menjalankan kerja jahat mereka.

“Malah, mereka menyewa dua lagi unit pangsapuri di lokasi sama sebagai tempat menyimpan stok dan untuk ahli sindiket berehat.

“Serbuan dilakukan hasil daripada risikan dan juga maklumat orang awam yang mencurigai kegiatan ahli sindiket terbabit,” katanya.

Menurutnya, dalam serbuan itu polis merampas pelbagai jenis dadah, antaranya syabu, ketamin dan heroin, selain sebilangan besar alat memproses dadah dan bahan mentah di enam makmal berkenaan.

Difahamkan, serbuan berkenaan yang terbesar dalam tahun ini dan membabitkan lebih 50 anggota serta pegawai dari Jabatan Narkotik Bukit Aman, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut.

Bagaimanapun, polis masih menjalankan siasatan lanjut untuk mengenal pasti rangkaian sindiket terbabit dan tidak menolak kemungkinan akan melakukan beberapa lagi siri tangkapan.

Sementara itu, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Wira Ayub Yaakob mengesahkan serbuan berkenaan dan akan mengadakan sidang media dalam masa terdekat.

Tiada ulasan: