12 Rejab 1432H. [MOD] -
KUALA LUMPUR: Perasaan curiga dan sifat ingin tahu seorang pengawal keselamatan mengenai bungkusan yang diletakkan di satu laluan kenderaan membawa kepada penemuan seorang bayi yang baru dilahirkan.
Sebelum itu, pengawal keselamatan terbabit, Nair Sagar, 19, menerima maklumat daripada seorang lelaki yang melalui laluan menuju ke ruang meletak kenderaan di Platinum Walk, Jalan Langkawi, Danau Kota, Setapak, yang melihat satu bungkusan bergerak-gerak di laluan berkenaan.
“Ketika saya periksa, saya terkejut selepas mendapati ada seorang bayi perempuan berkulit cerah yang masih hidup serta masih bertali pusat dibalut dengan beg plastik dan ditutup dengan baju-T berwarna merah.
“Malah, ketika saya pegang badannya saya dapati berada dalam keadaan panas mungkin kerana diletakkan di bawah terik matahari,” katanya.
Katanya, dia kemudian segera mencari payung bagi menutup bayi berkenaan sebelum menghubungi majikan dan pihak polis.
“Masa itu, saya takut untuk mengalihkan bayi berkenaan sebab bimbang ia akan mengganggu siasatan polis,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.
Nair berkata, polis dan anggota paramedik yang tiba 10 minit selepas dimaklumkan bertindak memotong tali pusat bayi berkenaan bagi mengelak dijangkiti kuman.
Bayi malang itu dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk pemeriksaan lanjut.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan mengesahkan penemuan bayi berkenaan dan siasatan secara menyeluruh sedang dijalankan, termasuk melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) bagi mengesan individu yang bertanggungjawab.
Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan atas kesalahan menyembunyikan kelahiran.
BERITAHARIAN/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan