14 Jun 2011

Kejutan manusia hijau

12 Rejab 1432H. [MOD] -

KETIGA-TIGA aktivis ini mengajak orang ramai untuk mengamalkan gaya hidup vegetarian.

KETIKA waktu tengah hari, orang ramai pasti memilih untuk berdiam di dalam kawasan berhawa dingin ataupun mencari kawasan teduh bagi mengelak bahang matahari.

Bukit Bintang, Kuala Lumpur seperti hari- hari biasa tetap dibanjiri manusia. Derapan langkah orang ramai di situ kelihatan pantas kerana tidak tahan berlama-lama dalam suhu panas sebegitu.

Keadaan berbeza pula buat tiga manusia hijau yang tidak putus-putus mengedar risalah kepada orang ramai yang lalu-lalang di kawasan itu.

Sambil memegang papan tanda bertulis Bertindak hijau! Menjadi vegan!, ketiga-tiga mereka yang mewarnakan tubuh badan dengan cat hijau turut melaung-laungkan slogan tersebut dalam bahasa Inggeris sambil melayan permintaan pengunjung untuk bergambar bersama.

Inisiatif Pertubuhan Hak Asasi Haiwan (PETA) itu merupakan antara usaha mereka bagi menggalakkan manusia menjadi vegetarian dengan mengelakkan pengambilan daging haiwan sebagai juadah harian.

Pemimpin kempen tersebut, Ashley Fruno menjelaskan, selain daripada perubahan iklim, penggunaan tanah berlebihan serta pencemaran air dan udara, memakan daging haiwan juga mengundang malapetaka kepada bumi.

“Saya menjadi vegetarian sejak usia 13 tahun dan saya berharap lebih ramai orang memilih untuk menjadi vegetarian.

Kesan penternakan

“Kita tahu kebanyakan bencana alam yang terjadi hari ini sering dikaitkan dengan aktiviti manusia dalam pembangunan dan pengindustrian tetapi kajian oleh kebanyakan pertubuhan alam sekitar dunia menjumpai sesuatu di luar jangkaan.

“Pertubuhan seperti Institut Worldwatch, Kelab Sierra, Kesatuan Saintis Prihatin dan Al Gore’s Live Earth mengesahkan tahap kerosakan alam sekitar akibat penternakan haiwan lebih buruk berbanding aktiviti manusia yang lain,” jelasnya.

Selepas berkempen di Filipina, Australia dan Malaysia, aktivis itu akan berlegar-legar pula di ibu negara Indonesia dan Thailand pada pertengahan bulan ini.

Melihat Malaysia sebagai negara yang bersifat terbuka berkaitan perihal kemanusiaan, Ashley meluahkan rasa senangnya sepanjang melakukan kempen tersebut di negara ini yang turut diadakan di Batu Pahat, Johor.

Tidak berdepan cabaran besar seperti yang dialami di beberapa negara lain, reaksi positif masyarakat Malaysia terhadap kempen tersebut melegakannya.

“Saya pernah ditahan pihak berkuasa ketika melakukan kempen yang sama di Korea Selatan atas kesalahan mewarnakan tubuh badan dan berlegar-legar di kawasan awam.

“Tetapi itu semua merupakan dugaan sebagai aktivis dan tidak dinafikan cabaran melakukan kempen di Malaysia ialah cuacanya yang terlalu panas bagi saya,” katanya jujur.

Turut sama menyertai Ashley pada hari itu ialah dua sukarelawan lelaki, Malte Schwarzer dari Jerman dan Rezza yang merupakan anak tempatan Malaysia.

kosmo/-

Tiada ulasan: