12 Rejab 1432H. [MOD] -
AYER KEROH - Seorang juruwang Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) dijatuhi hukuman penjara 30 tahun dan 12 sebatan oleh Mahkamah Sesyen, di sini semalam selepas mengaku bersalah terhadap 56 pertuduhan mendepositkan cek RM1,925,500.
Roslizam Zabar, 40, berhadapan tiga pertuduhan pilihan merangkumi 56 pertuduhan mengikut tahun, 2008, 2009 dan 2010, dijatuhi hukuman itu oleh Hakim, Abu Bakar Katar.
Pada pertuduhan pilihan pertama, Roslizam didapati curang dan tanpa pengetahuan serta kebenaran bank membuat deposit cek yang tidak wujud berjumlah RM95,000 dan dimasukkan ke dalam akaun BIMB atas nama Roslen Enterprise di nombor akaun 04024010016444 di BIMB cawangan Masjid Tanah, Kompleks Perniagaan Masjid Tanah, Alor Gajah antara 5 dan 26 Disember 2008.
Bagi pertuduhan pilihan kedua, dia lakukan perkara sama dengan jumlah RM1,578 di dalam akaun dan bank sama pada 2009, iaitu dari 9 Januari hingga 25 Ogos.
Menerusi pertuduhan pilihan ketiga pada 2010, dia melakukan perkara sama dengan jumlah wang RM252,500 ketika bertugas dari 2 hingga 17 Ogos.
Roslizam, diwakili peguam, Shah Rizal Alias dan Shahrul Amali Shafie ketika rayuan, meminta mahkamah berikan hukuman ringan kerana dia berniat pulangkan semula keseluruhan wang diambil.
“Tertuduh insaf. Dia turut beri kerjasama ketika majikannya menyiasat perkara berkenaan dengan menyerahkan borang deposit cek yang berada dalam simpanan.
“Mahkamah dimohon pertimbangkan tanggungjawab tertuduh untuk menyara seorang isteri dan tiga anak yang masih kecil berusia dari setahun hingga enam tahun, di samping ia kesalahan kali pertama,” kata Shah Rizal.
Timbalan Pendakwa Raya, Haslinda Abu Bakar, mohon dikenakan hukuman berat kerana kesalahan dilakukannya serius dan tidak sepatutnya tertuduh guna wang pihak ketiga dalam menyelesaikan masalah kewangan.
“Niat jahat berlaku ketika transaksi pertama, kemudian dipengaruhi nafsu tamak kerana tertuduh didapati mengulangi perbuatan sehingga membabitkan 56 transaksi dilakukan.
“Sekiranya tertuduh berniat mahu memulangkan semula wang terbabit, dia sepatutnya sudah memulakannya sejak awal, tetapi sehingga sekarang tiada usaha dilakukannya,” katanya.
Setelah meneliti fakta kes dan mendengar hujah serta rayuan kedua-dua belah pihak, Abu Bakar kemudian menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan empat sebatan halus bagi setiap pertuduhan pilihan dari 2008 hingga 2010.
Beliau, bagaimanapun, mengarahkan hukuman dijalankan secara serentak menjadikan hukuman dijalankan ke atas tertuduh adalah 10 tahun penjara dan 12 sebatan.
sinarharian/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan