09 Jun 2011

Dedah kos lawatan ke Kazakhstan, MP PAS desak Najib

7 Rejab 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 9 Jun — Ahli jawatankuasa kerja PAS pusat Dr Dzulkefly Ahmad hari ini menggesa Datuk Seri Najib Razak mendedahkan kepada umum perbelanjaan lawatan beliau ke Kazakhstan, yang secara kebetulan diadakan dengan majlis pertunangan anak perempuannya.

Sehubungan itu, Ahli Parlimen Kuala Selangor ini juga mengucapkan terima kasih kepada Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin “kerana mengesahkan dakwaan kami bahawa majlis perkahwinan diaturkan ketika lawatan” perdana menteri ke negara itu.

“Selepas ucapan Najib pada Forum Ekonomi Islam Sedunia mengenai urus tadbir yang baik dan ketelusan, beliau seharusnya mendedahkan berapa banyak yang beliau telah habiskan untuk lawatannya.”

“Dedahkan berapa banyak telah digunakan untuk urusan peribadi dan nyatakan sama ada mana-mana pihak dalam rombongannya tidak perlu (ketika beliau) menghadiri WIEF,” kata beliau kepada The Malaysian Insider.

Semalam, Khairy mempertahankan lawatan Najib ke Kazakhstan menerusi akaun Twitternya.

Khairy berkata, Najib berada di Kazakhstan untuk menyampaikan ucapan pada WIEF dan lawatan ke negara itu adalah atas jemputan presidennya Nursultan Nazarbayev yang pernah melawat Malaysia ketika era kepimpinan Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Dzulkefly menambah, ini bukan kali pertama perdana menteri membuat lawatan kerja yang secara kebetulan berkaitan dengan urusan peribadi.

Katanya, Najib dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor bulan lalu mengunjungi Amerika Syarikat (AS) dan menghadiri majis konvokesyen anak perempuan mereka di Georgetown University.

“Malah di mana-mana syarikat pun, ahli lembaga pengarah perlu mengisytiharkan terlebih dahulu jika wujud unsur konflik kepentingan,” kata wakil rakyat PAS.

Tiada ulasan: