21 Julai 2011

6 ahli KWSP didapati bersalah menipu sejak April

19 Syaaban 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR - Enam ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dikenakan tindakan undang-undang kerana kesalahan menipu atau cubaan menipu pengeluaran simpanan dengan menggunakan dokumen palsu antara April dan bulan lalu.

Pengurus Besar Perhubungan Awam KWSP, Nik Affendi Jaafar, berkata semua mereka didapati bersalah dan didenda RM12,300 oleh mahkamah mengikut Seksyen 59, Akta KWSP 1991, dan seorang daripada mereka turut dikenakan hukuman penjara selama tiga bulan.

"Tiga yang lain berkemungkinan dipenjara sehingga dua bulan sekiranya mereka gagal menjelaskan denda tersebut," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, penipuan pengeluaran membabitkan penyerahan dokumen palsu oleh ahli bagi pengeluaran dari akaun mereka adalah satu kesalahan serius mengikut Akta KWSP 1991.

"Mengikut Akta KWSP, mereka yang didapati bersalah melakukan penipuan atau cubaan menipu boleh dikenakan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda RM10,000 atau kedua-dua sekali," katanya.

Nik Affendi berkata, KWSP juga sudah menfailkan 31 kes saman atas kesalahan yang sama di mahkamah dalam tempoh itu.

Beliau turut mengingatkan ahli KWSP yang kesempitan kewangan agar tidak dipengaruhi sindiket yang menawarkan untuk membantu mereka dengan mengeluarkan simpanan KWSP secara penipuan kerana ia satu kesalahan serius dari segi undang-undang.

Ahli KWSP yang mempunyai maklumat mengenai sebarang kegiatan penipuan boleh menghubungi talian hotline Anti-Fraud KWSP di 03-26162121. - Bernama

Tiada ulasan: