19 Syaaban 1432H. [MOD] -
KUALA LUMPUR, 21 Julai: Dewan Pemuda PAS Malaysia konsisten melahirkan rasa tidak bersetuju dan amat kesal dengan langkah penganjur yang mahu meneruskan Konsert MTV World Stage di I-City Seksyen 7, Shah Alam pada 24 Julai ini.
“Penganjuran konsert ini telah mengguris perasaan umat Islam apabila ia berlangsung hanya seminggu menjelang bulan Ramadhan al-Mubarak, saat umat Islam mempersiapkan diri menyambut bulan mulia dan bulan ibadah,” ujar ketuanya, Nasrudin Hassan at-Tantawi (gambar) kepada Harakahdaily.
Tambahnya, terdahulu pihak Pemuda PAS telah menghantar dua memorandum bantahan melalui Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor.
Menurutnya, pemorandum pertama pada bulan Jun dan memorandum kedua seminggu lepas kerana menganggap konsert tersebut bertentangan dengan Enakmen Kawalan Hiburan Negeri Selangor.
Malangnya, kata beliau memorandum tersebut tidak dipedulikan malah usaha pemuda PAS Selangor untuk menemui pihak Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim juga gagal.
Katanya lagi, Persatuan Persaudaraan Muslimah Malaysia Cawangan Selangor turut membantah apabila mereka juga menerima bantahan dan rungutan dari penduduk sekitar.
Beliau menambah, konsert MTV yang turut menampilkan kumpulan 30 Second To Mars yang merupakan pemenang Kumpulan Rock di MTV Europe Music Award 2010 dan kumpulan rock tempatan tidak selayaknya berlangsung secara terbuka pula tiada jaminan kawalan dari pihak penganjur untuk mengelakkan berlakunya pergaulan bebas lelaki dan perempuan.
Baginya, selayaknya konsert seperti itu dibuat di tempat yang tertutup dan tidak membenarkan anak-anak muda muslim hanyut di dalamnya.
Jelasnya, Dewan Pemuda PAS Malaysia tidak membantah hiburan, tetapi membantah elemen yang tidak sihat di dalam hiburan tersebut.
Justeru, ujarnya hiburan yang mahu dianjurkan mestilah hiburan yang tidak melekakan dan melalaikan generasi muda dan mendorong pula mereka ke kancah maksiat dan mungkar dengan berlakunya pergaulan bebas lelaki dan perempuan, sementara negara sedang kritikal berdepan dengan penyakit sosial yang kian tenat dan parah dalam negara kita hari ini khasnya negeri Selangor.
Menurutnya lagi, menjelang Ramadhan, selayaknya kerajaan negeri Selangor memperbanyakkan aktiviti yang mampu mendidik minda dan syakhsiah anak muda ke arah membentuk peradaban atau tamadun yang hebat, sementelah pula I-City adalah pusat ilmu bukan pusat hiburan.
“Berpada-padalah dengan hiburan. Saya setuju manusia perlu berhibur dan hiburan perlu bagi menyerikan hidup, namun hiburan yang keterlaluan hanya akan merosakkan minda dan peribadi manusia lantaran manusia mempunyai tanggungjawab yang jauh lebih penting untuk masa depan hidup mereka selain hiburan,” ujarnya.
Justeru, beliau menyeru agar umat Islam khasnya anak-anak muda muslim agar tidak menghadirkan diri ke konsert tersebut sebaliknya fokus kepada persiapan diri menghadapi Ramadhan Al-Mubarak dengan aktiviti penyucian jiwa dan minda serta mendalami ilmu agar ibadah puasa di bulan Ramadhan kelak akan dilangsungkan dengan faham dan penuh penghayatan.
“Insya Allah, Dewan Pemuda PAS Malaysia khasnya melibatkan anggota pemuda PAS Negeri Selangor dan Wilayah akan turun beramai-ramai untuk mengedar risalah dan berdakwah mengajak anak-anak muda mendekati Allah SWT dalam masa yang sama, menjauhkan diri daripada maksiat dan mungkar,” katanya.
Tambahnya, sementara untuk hiburan, insya Allah apabila tiba masa yang sesuai, akan ada penganjuran hiburan yang baik, terkawal, tidak melalaikan dan pada masa yang sama akan mendidik jiwa ke arah kebaikan.
Sebelum ini pun, katanya telah banyak kali Pemuda PAS menganjurkannya dan kita juga menyokong mana-mana penganjuran majlis hiburan yang tidak menjejaskan peribadi atau akhlak anak muda. (Hdaily/d)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan