24 Syaaban 1432H. [MOD] -
KUALA LUMPUR: Kesemua perkhidmatan tren yang melalui laluan antara Kuang-Rawang-Kuang, terhalang sejak pukul 1.13 pagi tadi berpunca daripada insiden kabel milik Tenaga Nasional Berhad (TNB) terputus dan jatuh melintang di laluan tren Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di KM375.721.
Menurut kenyataan KTMB pada Selasa, kabel yang mengalirkan tenaga elektrik 33KV itu menyebabkan beberapa kabel talian atas milik KTMB yang berfungsi untuk membekalkan tenaga elektrik kepada tren KTM Komuter dan ETS turut terputus.
Ekoran insiden itu beberapa perkhidmatan terpaksa dijadualkan semula iaitu:
* Perkhidmatan KTM Komuter laluan Rawang-Sungai Gadut akan bermula dari Stesen Sungai Buloh. Pengguna dari Rawang akan dibawa ke Stesen Sungai Buloh dengan perkhidmatan bas.
* Ekspres Langkawi (Padang Besar-KL Sentral) ditamatkan di Stesen Rawang. Pengguna akan meneruskan perjalanan menggunakan perkhidmatan bas ke KL Sentral.
* Ekspres Senandung Mutiara (Butterworth-KL Sentral) ditamatkan di Stesen Rawang. Pengguna akan meneruskan perjalanan menggunakan perkhidmatan bas ke KL Sentral.
* Bagi perkhidmatan Ekspres Sinaran Mutiara (KL Sentral-Butterworth), jika laluan terhalang dapat dibebaskan sebelum pukul 8.30 pagi, perkhidmatan ini diteruskan namun jika lewat dari waktu tersebut perkhidmatan akan dibatalkan.
* Perkhidmatan ETS dari Ipoh ditamatkan di Stesen Rawang dan pengguna dipindahkan ke Stesen Sungai Buloh menggunakan bas sebelum meneruskan perjalanan ke destinasi.
* Perkhidmatan ETS dari KL Sentral dan Seremban ditamatkan di Stesen Rawang dan pengguna dipindahkan ke Stesen Sungai Buloh menggunakan bas sebelum meneruskan perjalanan ke destinasi.
* Tiada perkhidmatan KTM Kargo akan melalui kawasan laluan terhalang sehingga laluan bebas.
Menurut kenyataan itu, kerja-kerja pengalihan dan baik pulih sedang dilakukan dan jangka masa pulih belum dapat dipastikan. Maklumat terkini mengenai insiden itu akan dihebahkan dari masa ke masa.
Bagi perkhidmatan tren yang dibatalkan, pengguna boleh membuat tuntutan semula harga tiket atau membuat penukaran tarikh perjalanan.
KTM Berhad memohon maaf atas sebarang kesulitan yang timbul dan maklumat lanjut boleh didapati dengan menghubungi hubungi Pusat Khidmat Pelanggan KTM Berhad di talian 1-300-88-5862. BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan