26 Julai 2011

Rakyat harap pada siapa untuk tegak keadilan

24 Syaaban 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 26 Julai: Kini, rakyat sedang bertanya kepada siapakah yang boleh diharapkan supaya keadilan dapat ditegakkan dalam kes seumpama mendiang Teoh Beng Hock, Allahyarham Ahmad Sarbani Mohamed, mendiang A Kugan dan yang terkini arwah Baharuddin Ahmad yang meninggal dunia semasa perhimpunan Bersih 2.0 9 Julai yang lepas.

“Nak mengadu pada pihak berkuasa, tetapi yang menyiasat juga ialah pihak berkuasa dan perkakas yang tidak berani melawannya,” kata Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (gambar) dalam satu kenyataan hari ini.

Tuan Ibrahim bertanya sedemikian sebagai respons kepada kegusaran dan kesedihan yang menimpa keluarga Allahyarham Baharuddin, yang sehingga kini masih tidak mengetahui bagaimana ayah mereka meninggal.

Sebelum ini, polis menegaskan bahawa Allahyarham mati akibat disebabkan serangan jantung tetapi mendakwa tiga tulang rusuk dan gigi Allahyarham yang dilaporkan patah "mungkin" disebabkan oleh rawatan kecemasan yang diberikan ke atasnya.

Namun sehingga kini, menurut anaknya Mohd Nasrul, keluarganya masih tertanya-tanya bagaimanakah polis mendapat fakta berhubung sebab kematian lelaki yang meninggal dunia semasa menyertai perhimpunan Bersih 2.0 di KLCC, Kuala Lumpur dua minggu lalu sedangkan pihak keluarga sendiri masih belum menerima laporan bedah siasat yang dijalankan ke atas jenazah.

Bukan itu sahaja, dalam menguatkan hujah mereka, polis telah memaparkan gambar 'Baharuddin' memegang dadanya semasa perhimpunan Bersih 2.0 Julai 9 yang lalu.

Tuan Ibrahim berkata, rakyat kini susah hendak menerima hasil siasatan pihak berkuasa, terutamanya apabila pihak berkuasa yang menerima aduan turut terpalit dalam kes-kes tertentu untuk menghukum mereka sendiri.

“Paling hebat ditubuhkan Suruhanjaya Diraja, sekiranya satu hari nanti Suruhanjaya Diraja juga hilang kewibawaan, maka akan ditubuhkan Suruhanjaya Khas pula, lambat-laun segalanya gagal mendapat kepercayaan rakyat apabila mereka menyedari hakikat yang terang lagi bersuluh bahawa semuanya telah dicemari dengan campur tangan para pemimpin Umno dan Barisan Nasional di belakang takbir,” tegas Tuan Ibrahim, yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang.

Bahkan, kerajaan boleh berusaha untuk mengubah nama institusi-institusi dengan pelbagai nama sekalipun, namun Tuan Ibrahim berkata, hakikatnya semua itu hanyalah perubahan komestik kerana realitinya sistem negara telah punah kerana ia dipimpin oleh Umno Barisan Nasional yang telah punah struktur asasnya.

“Ia tidak lebih umpama bangunan yang telah dimamah anai-anai, walau kelihatan dari luarnya kukuh, sebenarnya ia hanya menunggu masa untuk rebah menyembah bumi,” sindir beliau.

Kepincangan serius ini, kata beliau menuntut sesuatu tindakan untuk dilakukan segera agar institusi-institusi yang disandar rakyat bagi menuntut keadilan dan hak mereka dapat terus diyakini.

“Untuk itu, PAS mengingatkan rakyat bahawa keadilan hanya dapat diperolehi daripada satu sistem yang adil dengan syarat sistem yang adil tersebut dilaksana oleh pimpinan yang adil.

Diharapkan rakyat sudah bersiap sedia untuk melangkah ke arah perubahan tersebut di PRU ke 13 nanti,” seru beliau.

harakahdaily/-

Tiada ulasan: