27 Julai 2011

Kelab Veteran Angkatan Tentera (KERABAT) di lancarkan.

Penyampaian borang tanah Felda Plantation oleh Saudara Mazlan kepada salah seorang penerima. Haji Razman berdiri di sebelahnya.

Sebahagian daripada ribuan hadirin berpusu-pusu untuk mendapatkan borang tanah.

25 Syaaban 1432H. [MOD] -

Oleh Mohd Syamil azhar.

LENGGONG: Lebih 5,000 hadirin memenuhi hampir setiap kawasan lapang pekarangan Markaz PAS Kampung Gelok dekat sini pada malam kemuncak program penyerahan borang tanah Felda Plantation sambil mendengar ceramah beberapa pimpinan PAS.

Program peringkat negeri anjuran Lajnah Pembangunan Tanah dan Wilayah PAS Perak dengan kerjasama PAS kawasan selama dua hari itu, turut diisi beberapa aktiviti lain, selain penyampaian borang tanah.

Antaranya ialah pelancaran penubuhan Kelab Veteran Angkatan Tentera (KERABAT), karnival jualan, penyampaian borang kemasukan ahli, pertandingan nasyid, bercerita, deklamasi sajak, mewarna dan lain-lain.

Program dua hari berturut-turut itu juga diisi dengan Pelancaran Gerak Kerja Pilihan Raya Pemuda dan HelWa.

Pada malam kemuncak, ribuan yang hadir tidak berganjak, walaupun Timbalan Presiden PAS, Haji Mohamad Sabu yang dijangka menyampaikan ceramah, tidak dapat hadir kerana masalah kesihatannya.

Kehampaan ribuan hadirin kerana ketiadaan penceramah utama, bagaimanapun diisi sebaiknya dengan ceramah oleh Ahli Jawatankuasa PAS Pusat yang juga Pengerusi Lajnah Pembangunan Tanah dan Wilayah, Saudara Mazlan Aliman dan lain-lain.

Penceramah lain, termasuklah Timbalan Pesuruhjaya 3 PAS Perak yang juga Yang DiPertua PAS Lenggong, Haji Razman Zakaria dan Kapten (B) Haji Mohd Rosli Yahaya.

Mohd Rosli yang pernah menjawat jawatan sebagai Naib Presiden Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM), diberi peluang berucap sebagai menghargai tindakannya menyertai PAS dengan menyerahkan borang ahli seumur hidup pada malam sebelumnya.

Sementara itu, Saudara Mazlan ketika ditemui selepas program itu, berkata sebanyak 55,000 daripada 60,000 borang tanah Felda Plantation yang dicetak telah habis diagihkan.

Katanya, Pahang paling banyak, iaitu 30,000 kerana negeri itu banyak terdapat kawasan Felda, yang kedua Johor sebanyak 10,000, manakala Perak berjumlah 5,000.

"Semua negeri, termasuk Sabah telah diagihkan, kecuali Kelantan, Terengganu dan Melaka dan kita akan cetak 20,000 borang lagi.

"Untuk bekas-bekas Angkatan Tentera Malaysia kita peruntukkan 20,000 borang dan setakat ini ramai yang tampil membuat permohonan," katanya.

Saudara Mazlan berkata, di seluruh negara terdapat 800,000 ekar tanah Felda Plantation dan sekiranya diagihkan 10 ekar seorang bermakna 80,000 orang akan mendapat tanah berkenaan.

Katanya, mereka yang berhak memohon terdiri daripada lima kategori, iaitu Peserta Felda Plantation, Generasi Kedua dan Ketiga Felda, Bekas Anggota Tentera, kakitangan Am rendah Felda dan Anak Tempatan yang tinggal berhampiran kawasan Felda.

"Sebagaimana janji dalam Buku Jingga, sekiranya Pakatan Rakyat berjaya memerintah, kita akan beri tanah berkenaan kepada pemohon yang layak dari kalangan lima kategori itu," katanya.

Pada malam pertama yang membariskan pernceramah seperti Timbalan Pesuruhjaya 1 PAS Perak yang juga Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Seri Ir Mohamad Nizar Jamaluddin dihadiri kira-kira 2,000 orang.

Turut berceramah pada malam itu ialah Ahli Parlimen Padang Terap, Haji Nasir Zakaria dan Preesiden KERABAT, Kol (B) Nazri Mokhtar.

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

bagaimana hendak daftar sebagai kelab veteran angkatan tentera ( kerabat)? sila email pada saya e_poknik@yahoo.com cara daftar.

Tanpa Nama berkata...

email ke saya jugak ye. syah_bizkit@yahoo.com