18 Julai 2011

Keluarga Baharuddin Terus Gesa Prosiding Khas Siasat Kematian Allahyarham

16 Syaaban 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR 18 JULAI : Keluarga dan pimpinan Pakatan Rakyat terus mendesak agar satu prosiding khas atau siasatan dilakukan kerajaan berhubung kematian peserta Bersih 2.0, Baharuddin Ahmad dilakukan dengan segera.

Peguam keluarga Baharuddin, Ahmad Jufliz Faiza menyatakan satu laporan Polis telah dibuat oleh keluarga mangsa semalam bagi mendesak kenyataan mengenai kematian Allahyarham tidak dimainkan oleh pihak tertentu tanpa kebenaran dan pengetahuan keluarga.

"Kami memohon dan berharap agar saksi-saksi yang berada dan mengetahui apa sebenarnya yang berlaku pada hari itu sehingga menyebabkan kematian beliau tampil menolong kami.

"Kami telah membuat laporan polis semalam dan memohon agar satu prosiding khas bagi satu siasatan mengenai kematian beliau dibuat dalam masa tujuh hari dari tarikh laporan dibuat," terang Jufliz dalam sidang media di sini hari ini.

Baharudin meninggal selepas pengsan di perkarangan KLCC. Mengikut laporan awalnya, Baharudin sesak nafas selepas terkena gas pemedih mata yang ditembak pasukan keselamatan ke arah orang ramai yang menyertai perhimpunan itu.

Namun, cerita lain mula merebak sebaik sahaja jenazah Allahyarham dikeluarkan dari rumah mayat Hospital Kuala Lumpur (HKL) selepas menjalani post mortem.

Sehingga kini, laporan post mortem tidak dikeluarkan oleh hospital kepada keluarga mangsa. Ia menjadi tanda tanya kepada keluarga kerana laporan itu tidak dikeluarkan sedangkan mayat dibenarkan untuk dikebumikan.

Usaha anak Allahyarham yang merupakan seorang doktor di HKL untuk mendapatkan laporan juga dikatakan tidak berjaya

Polis telahpun membuat kenyataan bahawa mangsa meninggal dunia akibat penyakit jantung yang dialaminya.

Setakat ini, keluarganya hanya menerima surat kebenaran membawa keluar jenazah untuk dikebumikan, namun masih belum menyatakan sebab kematian kerana masih menunggu hasil ujian makmal.

"Kami amat hairan kami tidak dibekalkan laporan rasmi awal post mortem tersebut tetapi pihak lain boleh membuat beberapa kenyataan rasmi terhadap kematian beliau tanpa persetujuan rasmi kami," kata beliau lagi.

Lebih malang lagi, beliau yang turut ditemani oleh Presiden Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail, Pengerusi DAP Wilayah Persekutuan Dr Tan Seng Giaw dan Pengerusi Biro Displin PKR Datuk Dr Tan Kee Kwong menyatakan, sehingga kini pimpinan kerajaan Umno-BN dan polis seolah-olah langsung tiada sensitiviti terhadap kematian Baharuddin.

"Amat menyedihkan sehingga hari ini, tidak ada sepatah pun perkataan takziah kami terima dari pihak polis mahupun kerajaan. Ini menunjukkan tiada langsung sensitiviti mereka ke atas kematian arwah Baharuddin Ahmad. Sebaliknya kami terharu, hampir semua pemimpin Bersih, NGO dan pemimpin PR telah meluangkan masa walaupun dengan jadual ketat telah datang ke rumah kami mengucapkan takziah," kata beliau.

tv selangor/-

2 ulasan:

Sudin Ajaib berkata...

Kalau PAS dah janji nak bagi mati Syahid padanya apa nak dikesalkan ???

Tanpa Nama berkata...

Mati syahid tidak menghalalkan pembunuhnya lepas lari