10 Syaaban 1432H. [MOD] -
KUALA LUMPUR, 13 Julai: Kenyataan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof bahawa suruhanjaya itu tidak akan tunduk kepada mana-mana desakan bagi menambahbaik sistem pilihan raya negara ini disifatkan angkuh dan tidak rasional.
Exco Dewan Pemuda PAS Pusat, Suhaizan Kaiat berkata ia bukan sahaja menunjukkan bahawa SPR tidak bebas malah mengesahkan mereka bertindak demi kepentingan parti politik tertentu.
"Belum apa-apa dia kata tak nak tunduk desakan, ini satu kenyataan angkuh dan tidak rasional.
"Tuntutan yang dibuat bukan tak asas, malah kita kemukakan beberapa bukti manipulasi yang sudah berlaku," katanya.
Abdul Aziz dalam kenyataannya semalam berkata beliau tidak akan tunduk kepada mana-mana pihak termasuk 8 tuntutan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) yang berhimpun 9 Julai lalu.
Katanya, Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu pun tidak boleh memaksanya untuk melakukan reformasi pilihan raya.
Mengulas lanjut, Suhaizan yang juga ketua dewan pemuda PAS Johor berkata, bekas Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman sendiri sebelum ini mengakui sistem pilihan raya yang sudah lama dipakai sekarang ini perlu kepada penambahbaikan.
"Kita pun bukan suruh dia terima bulat-bulat, kaji la dulu pandangan dari rakyat.
"Sekurang-kurangnya bagitahu la akan tubuh jawatankuasa untuk mengkaji tuntutan Bersih tu ke. Ini tidak, terus kata tak boleh paksa saya," tegasnya lagi.
Bersih dalam tuntutan mereka mahu SPR membersihkan senarai daftar pemilih, mereformasi undi pos, menggunakan dakwat kekal, dan memanjangkan tempoh berkempin kepada 21 hari.
Dalam tuntutan itu juga mereka mahu SPR memastikan akses media yang bebas dan adil kepada semua parti yang bertanding, memperkukuh institusi awam agar tidak diperguna untuk kepentingan mana-mana parti politik, memantau rasuah politik sewaktu berkempen dan menghentikan politik kotor dalam pilihyan raya.
harakahdaily/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan