13 Julai 2011

Sembilan kali bedah kepala

10 Syaaban 1432H. [MOD] -

DISEBABKAN daya penglihatan yang lemah, Foong menggunakan video magnifier bagi membesarkan saiz huruf.

SEPERTI remaja lain, Yvonne Foong gembira dapat keluar pada hujung minggu bersama kawan-kawan. Dia juga aktif dalam kumpulan koir bahkan mengikuti kelas tarian balet dan karate.

Bagaimanapun, masalah bermula ketika dia berusia 13 tahun.

“Saya hilang pendengaran dan keseimbangan berjalan hinggakan saya sering terjatuh di sekolah akibat masalah itu,” cerita Foong, anak tunggal dalam keluarganya.

Tiga tahun kemudian, keadaan menjadi lebih buruk. Foong terpaksa ditemani guru atau pelajar lain untuk pulang ke rumah mak ciknya di Subang Jaya kerana kerap terjatuh apabila berjalan.

Jarang ditemui

Pemeriksaan oleh pakar neurologi mendapati Foong mengalami ketumbuhan otak. Dia juga disahkan menghidap penyakit gangguan genetik dikenali sebagai Neurofibromatosis Jenis 2 (NF2).

NF ialah sejenis gangguan genetik yang menyebabkan ketumbuhan tumor di bahagian saraf di samping mengganggu pertumbuhan tisu seperti tulang dan kulit.

Penyakit itu menyebabkan Foong hilang pendengaran, tiada keseimbangan berjalan selain masalah penglihatan.

Dilaporkan, hanya satu daripada 40,000 orang di dunia menghidap penyakit itu. Di Malaysia, cuma dua orang dikesan menghidap NF2 dan salah seorang daripadanya ialah Foong.

Pembedahan pertama bagi membuang ketumbuhan otak melibatkan perbelanjaan sebanyak RM50,000. Mujurlah kos itu ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan dan ia dijalankan di Hospital Kuala Lumpur pada tahun 2002.

Pembedahan kedua dilakukan di hospital yang sama, juga bagi membuang ketumbuhan otak dan di tulang belakang.

Malangnya, ketumbuhan itu muncul lagi di tempat yang sama. Foong menjalani pembedahan ketiga pada tahun 2004 di Pusat Perubatan St. Vincent, Los Angeles, Amerika Syarikat (AS) untuk melakukan implan pendengaran manakala pembedahan keempat bagi membuang ketumbuhan pada badan.

“Pembedahan kesembilan iaitu yang terakhir dijalankan di House Clinic, Los Angeles pada tahun 2010 bagi membuang ketumbuhan otak di kiri ventrikel lateral,” kata Foong, 23, penuntut tahun ketiga Ijazah Sarjana Muda Psikologi di AS.

Ubat

Kematian bapanya akibat masalah paru-paru pada Oktober tahun lalu iaitu sebelum dia menjalani pembedahan terakhir di AS sedikit sebanyak melemahkan semangatnya, namun Foong sedar hidup perlu diteruskan.

FOONG mendengar dan menjawab soalan yang ditaip pada komputer riba.

“Kini, saya masih mengikuti rawatan susulan di Institut Kesihatan Kebangsaan (NIH), AS pada setiap enam bulan.

“Saya juga dipilih menyertai penyelidikan klinikal institut itu khususnya berkaitan pesakit NF2. Mereka turut memantau ketumbuhan otak saya dan menawarkan pembedahan pada bila-bila masa diperlukan,” katanya.

Foong sekarang kembali menjalani kehidupan normal selepas menderita selama 10 tahun akibat penyakit itu. Kos untuk pembedahan dan rawatan dianggarkan mencecah RM1 juta.

Dia juga perlu mengambil sejenis ubat titis berharga RM180 yang ditempah khas menerusi Internet daripada pembekal di New Zealand. Ubat itu berfungsi menyekat dan melambatkan ketumbuhan otak.

“Walaupun hilang pendengaran, saya menggunakan komputer riba jenis Toshiba dan video magnifier untuk membaca manakala papan putih untuk menulis dan berkomunikasi dengan orang di sekeliling,” kata Foong yang kerap dijemput memberi ceramah motivasi.

Dalam ceramahnya, Foong selalu menceritakan kisah susah payah dan kejayaannya menentang penyakit itu sehingga terpaksa melalui sembilan kali pembedahan yang menyakitkan.

Dia juga menjual baju T Polo menerusi blognya, www.yvonnefoong.com, bertujuan mendapatkan dana bagi membantu seorang rakannya yang juga penghidap tumor otak, Syahidah Ishak.

Baru-baru ini, penulis buku I’m Not Sick itu membantu mengumpul dana untuk mangsa tsunami di Jepun.

Selama dua jam ditemu bual Jurnal, penerima anugerah Most Outstanding Youth of the Year iaitu salah satu kategori dalam Dream Malaysia Awards 2005, ‘mendengar’ dan menjawab soalan dengan menaip menggunakan komputer.

Impian Foong kini ialah mencari seorang suami yang sudi berkongsi kasih dan melindungi dirinya.

“Sebagai perempuan, saya ingin mendirikan rumah tangga dengan seorang lelaki yang baik dan memiliki anak yang ramai. Itulah saat paling indah dalam hidup saya,” katanya.

kosmo/-

Tiada ulasan: