04 Julai 2011

Peguam, keluarga tak dibenar temu tahanan Ordinan Darurat

2 Syaaban 1432H. [MOD] -

Edmund Bon cakap dengan ahli keluarga enam ahli Parti Sosialis Malaysia yang ditahan di bawah Ordinan Darurat di-Bukit Aman Polis Station. – Gambar oleh Choo Choy May
KUALA LUMPUR, 4 Julai – Peguam dan ahli keluarga enam ahli Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang ditahan di bawah Ordinan Darurat tidak dibenarkan untuk menemui mereka hari ini.

Lima peguam termasuk Edmund Bon, Amer Hamzah Arshad, K. Arumugam, Yudhistira Dorai (peguam cara) dan Fatima Ismail telah bertemu dengan pegawai polis yang bertanggungjawab lebih kurang satu jam untuk berunding bagi menemui tahanan itu.

“Semasa rundingan, kami memberikan alasan mengapa kami perlu menemui semua tahanan di bawah Perlembagaan Persekutuan dan Kod Prosedur Jenayah.

“Setiap rakyat yang ditahan mempunyai hak untuk mendapatkan pembelaan dan peguam sepatutnya dibenarkan untuk menemui mereka secepat yang mungkin,” kata Bon kepada pemberita di luar ibu pejabat polis Bukit Aman.

Bon berkata semua tahanan telah tiba di Bukit Aman pada pukul 10 malam, kelmarin.

Mereka yang ditahan adalah Ahli Parlimen Sungai Siput Dr Michael Jeyakumar, M Saraswathy, Choo Chon Kai, M Sukumaran, A Letchumanan dan Sarat Babu.

Kesemua mereka ditahan di bawah Seksyen 3 (1) Ordinan Darurat (Ketenteraman Awam Dan Mencegah Jenayah) 1969 yang membolehkan ditahan selama 60 hari tanpa perbicaraan.

Minggu lalu kesemua mereka ditahan berhubung Himpunan Bersih 2.0 bersama 25 yang lain.

Suaram bersama dengan keluarga tahanan itu akan menyerahkan memorandum kepada Suhakam esok untuk menggesa kerajaan membenarkan akses kepada peguam dan keluarga masing-masing.

Dalam pada itu, Transparency International Malaysia (TI-M) menggesa pembebasan segera kesemua enam tahanan terbabit.

TI-M juga mengesyorkan agar Ordinan Darurat dimansuhkan kerana ia sudah terkeluar daripada tujuan asal.

“TI-M telah berulang kali meminta agar undang-undang ini yang membolehkan penahanan tanpa perbicaraan dimansuhkan,” kata Presidennya Datuk Paul Low dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

“Undang-undang ini bertentangan dengan prinsip hak asasi manusia dan terdedah kepada penganiayaan,” katanya.

The malaysian Insider/-

Tiada ulasan: