04 Julai 2011

PKINK tuntut Bernama, Sinar mohon maaf

2 Syaaban 1432H. [MOD] -



KOTA BHARU, 3 Julai: Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) menuntut Bernama.com, Sinar Harian dan radio Kelantan FM memohon maaf ekoran penyiaran laporan berita tidak benar.
Ketua Eksekutif Kumpulan, Mohd Sabri Abdullah berkata, tidak timbul sama sekali kerajaan negeri merampas tapak stesen kereta sewa di Pasir Puteh untuk dijual kepada syarikat swasta.
“Tanah tersebut masih menjadi hak milik PKINK. Kami menegaskan tidak berlaku sebarang penjualan ke atas tanah tersebut pada masa ini kepada mana-mana pihak sebagaimana dilapor media terbabit,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Bernama semalam dipetik melaporkan “PM Janji Beri Pejabat Baru Untuk Persatuan Kereta Sewa Pasir Puteh” manakala Sinar Harian pula melaporkan “PM Janji Hentian Teksi Baru” disiarkan hari ini.
Radio Kelantan FM juga menghebahkan berita serupa semalam dengan memetik kenyataan Perdana Menteri, meluahkan rasa kesal terhadap tindakan kerajaan negeri melalui PKINK memutus menjual tapak perhentian teksi di Pasar Lama Pasir Puteh.
Ekoran itu Datuk Seri Najib Razak berjanji menyedia pejabat baru kepada Persatuan Pemandu Teksi Pasir Puteh berikutan kerajaan PAS Kelantan merampas tapak perhentian teksi.
Mohd Sabri berkata, penyiaran berita terbabit dianggap berniat buruk serta menjatuhkan maruah pengerusi, ahli Lembaga Pengarah dan pengurusan PKINK.
“Kami menuntut media terbabit minta maaf secara bertulis dan terbuka kepada PKINK dengan menyiarkan di muka hadapan.
”Keduanya menarik balik berita sebagaimana yang disiarkan berkaitan perkara tersebut dan membuat pembetulan semula,” katanya.
Menurutnya PKINK masih terus membenarkan Persatuan Pemandu Teksi menggunakan tapak tersebut sebagai perhentian teksi sehingga sekarang.

Tiada ulasan: