24 Ogos 2011

4 lelaki berparang samun peniaga

24 Ramadhan 1432H. [MOD] -


Gambar hiasan

KAJANG: Seorang peniaga berputih mata apabila sekumpulan empat lelaki bersenjatakan parang melarikan wang tunai, barangan kemas, jam tangan berjenama, komputer riba dan konsol game video Playstation 3 yang dianggarkan bernilai kira-kira RM55,000 di Taman Saga Emas, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 malam itu, mangsa berusia 53 tahun yang menonton televisyen bersama keluarga terkejut apabila suspek yang memakai topeng muncul di pintu rumah berkenaan sebelum mengacukan parang ke arah mangsa.


Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab Rashid Ab Wahab, berkata suspek memasuki kawasan rumah mangsa dengan memanjat pagar depan dan ketika kejadian, mangsa tidak mengunci pintu jeriji rumahnya.


“Sebaik suspek memasuki rumah itu, mangsa dan keluarganya terpinga-pinga dan kesempatan itu digunakan suspek untuk mengikat mangsa dan ahli keluarganya.


“Suspek memaksa mangsa menunjukkan tempat simpanan wang dan barang berharga di dalam sebuah bilik,” katanya.



Ab Rashid berkata, mangsa menuruti arahan suspek kerana bimbang suspek melakukan sesuatu di luar jangkaan dan mendatangkan bahaya pada ahli keluarganya. “Suspek yang menggeledah semua bilik menjumpai wang tunai, jam berjenama, komputer riba dan Playstation 3 sebelum melarikan diri menggunakan sebuah kereta.


“Saksi melihat suspek melarikan diri menggunakan Toyota Vios warna hitam,” katanya.


Katanya, kes akan disiasat mengikut Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan (KK) kerana samun berkawan dan menggunakan senjata.


Tiada ulasan: