24 Ramadhan 1432H. [MOD] -
PASIR MAS,: Laluan bertingkat melintas landasan kereta api di sini kini siap sepenuhnya, sedangkan jalan bertingkat di Jalan Hamzah dan jambatan Sultan Yahya Petra kedua bernilai RM150 juta belum pun mencapai 50 peratus dibina.
Laluan bertingkat itu dibina kerajaan negeri membabitkan kos RM15.5 juta, bagi mengatasi kesesakan lalu lintas di bandar Pasir Mas.
Sebaliknya jalan bertingkat di Jalan Hamzah dan projek perlebaran Jambatan Sultan Yahya Petra kedua hanya kelihatan tiang dibina kerajaan pusat. Perletakan batu asas dibuat Perdana Menteri pada Ogos 2007.
Rakyat boleh menilai sendiri sebuah kerajaan negeri yang berpendapatan tidak seberapa dapat menyiapkan projek laluan bertingkat mengikut perancangan awal.
Projek laluan bertingkat sepanjang 750 meter itu menghubungkan Kampung Lemal dan Kubang Panjang dianggap projek terbesar pernah dilaksanakan kerajaan negeri.
Anggota Exco kerajaan negeri, Mejar (B) Datuk Md Anizam Abdul Rahman berkata, fasa kedua projek membina jalan susur daripada laluan bertingkat ke Jalan Meranti sedang dijalankan.
“Jalan sepanjang 1.5 km itu sedang dilaksanakan kerja-kerja menambun dan dijangka siap akhir tahun ini,” katanya ketika ditemui semasa meninjau projek jalan tersebut hari ini.
Menurutnya jalan bertingkat itu dijangka dapat digunakan orang ramai sehari dua lagi memandangkan kerja-kerja mengetar masih dijalankan.
“InsyaAllah anak-anak perantau yang pulang bercuti sempena Hari Raya ini akan melihat sendiri projek dilaksanakan kerajaan bagi mengatasi masalah trafik di Pasir Mas,” ujarnya.
harakahdaily/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan