22 Ramadhan 1432H. [MOD] -
Manfaat Ramadan minta bantuan, petunjuk Allah
KEMERIAHAN bulan puasa di negara kita dikaitkan dengan penganjuran bazar Ramadan yang menyediakan pelbagai juadah untuk berbuka puasa. Dari satu sudut, ia memberi kemudahan kepada mereka yang tidak sempat menyediakan makanan dan membuka peluang perniagaan.
Namun, yang tidak sedapnya apabila bazar Ramadan terlalu menjadi tumpuan hingga menghilangkan hikmah di sebalik perintah umat Islam berpuasa yang menuntut mereka mengawal diri daripada makan, minum serta melakukan perkara membatalkan puasa.
Pada masa sama, adanya bazar Ramadan yang terlalu banyak bilangannya menjurus kepada pembaziran.
Maklumlah, apabila rambang mata, kita lebih cenderung mengikut nafsu ketika membeli tetapi tiba masa makan, banyak mana sangat yang terlarat.
Terlalu memikirkan juadah yang sudah dibeli untuk berbuka puasa juga menyebabkan kita lupa mengambil kesempatan memohon doa sebelum masuknya waktu berbuka puasa atau azan Maghrib, iaitu waktu mustajab berdoa.
Sementara menanti alunan azan, sebaiknya waktu lima minit direbut bagi memohon hajat kepada Yang Maha Esa. Alangkah ruginya jika waktu itu dibazirkan dengan berbual kosong atau hanya menonton televisyen.
Sepanjang Ramadan langit dibuka setiap saat, pintu syurga dibuka seluas-luasnya sementara pintu neraka ditutup. Justeru, mintalah apa saja yang kita hajatkan kerana dengan izin Allah, permintaan itu akan dimakbulkan.
Jika kita belum pernah berdoa sementara menanti waktu berbuka, dalam minggu akhir Ramadan ini, marilah jadikan ia amalan wajib. Luahkan segala apa yang terbuku dalam hati, mudah-mudahan Allah memakbulkan permintaan kita.
Begitu juga apabila menjamah juadah, hendaklah dilakukan mengikut tertib, jangan terlalu gelojoh walaupun tidak dinafikan sudah penat seharian kita menahan nafsu makan. Sebaiknya dimulakan dengan makan kurma mengikut sunnah Rasulullah SAW. Kemudian berhenti sekejap untuk menunaikan solat Maghrib sebelum menikmati juadah berat bagi menjana tenaga untuk menunaikan tarawih.
Bagi mereka yang menghidap penyakit, pastinya perlu berhati-hati di bulan puasa ini supaya kesihatan terpelihara. Tambahan pula bagi yang berkemampuan berpuasa, akan berdepan cabaran hebat.
Rasanya banyak kali sudah saya ulangi, yang penting ialah mereka perlu reda dengan ujian penyakit yang Allah datangkan kerana Allah tidak akan menguji hamba-Nya melebihi kemampuan mereka.
Dari aspek penyembuhan pula, itu semua terserah kepada Allah kerana jika esok kata-Nya seseorang itu sembuh daripada penyakit, maka esok datang berita baik itu dan begitu juga jika sepuluh tahun lagi, selama itulah seseorang itu perlu mengharunginya.
Namun, walaupun tempoh ditetapkan, kita hendaklah reda, berusaha, yakin dan seterusnya bertawakal kepada Allah. Kata kuncinya ialah kesabaran dan bagi sesetengah kita, sabar ada hadnya yang akhirnya menyebabkan mereka berputus asa.
Lagi satu, hendaklah yakin dengan mukjizat al-Quran bagi yang beramal dengan al-Quran sebagai kaedah rawatan. Ada yang mengharap cepat sembuh dan apabila hasilnya tidak seperti diharapkan, mereka mengambil keputusan mencuba kaedah lain pula.
Berdasarkan maklum balas daripada mereka yang datang mendapatkan rawatan di Pusat Perubatan Islam Al-Hidayah, 90 peratus memberitahu dapat merasai perubahan walaupun sedikit selepas mengamalkan surah yang diberi.
Jika dulu kebas lima jari, sekarang tiga jari sudah boleh digerak-gerakkan. Dulu sakit tengkuk disebabkan gangguan, sekarang sudah boleh tidur dengan selesa. Seperti saya kata, kita hanya berusaha tetapi semua terserah kepada Allah yang lebih Mengetahui.
Saya juga maklum dengan aduan sesetengah pihak yang datang ke Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah yang terpaksa menunggu lama, kami berusaha untuk memberi perkhidmatan yang terbaik dan sebarang kelemahan harap dapat dimaafkan.
Mungkin ada yang sedang menanti temu janji yang sudah dibuat. Sementara menanti, anda juga boleh mengamalkan ayat al-Quran yang umum untuk penyakit tertentu seperti surah al-Israk, ayat 40-45 bagi penyakit jantung.
Untuk penyakit kencing manis boleh baca surah al-Anbiya, ayat 62 hingga 73 dan bagi penyakit saraf atau tulang boleh amalkan surah al-Mukminun, ayat 60 hingga 80.
Semoga kesungguhan kita menjiwai mukjizat al-Quran pada Ramadan yang menjanjikan rahmat, keampunan dan pembebasan dari api neraka, Allah meringankan ujian yang diberi kepada kita dan beroleh kesihatan diharapkan.
berita harian/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan