22 Ramadhan 1432H. [MOD] -
KUALA LUMPUR – Seorang ibu sanggup menjadi tebusan bagi menyelamatkan nyawa anak perempuannya yang dilarikan seorang ah long, dalam kejadian di Taman Bukit Cheras, di sini, awal pagi semalam.
Sebelum kejadian, ah long berusia 32 tahun itu dikatakan menunggu di luar rumah milik keluarga seorang ahli perniagaan berusia 24 tahun, terletak di kawasan Gombak.
Suspek lelaki itu kemudiannya menyerbu kereta mangsa jenis BMW, ketika wanita itu tiba di hadapan rumahnya kira-kira jam 1 pagi, dipercayai baru pulang dari kerja.
Suspek dipercayai mengugut mangsa untuk memandu kenderaan itu menuju ke rumahnya di Taman Bukit Cheras, sebelum mengurungnya di premis dua tingkat terbabit.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohan Singh Tara Singh berkata, ibu mangsa juga seorang ahli perniagaan berusia 43 tahun, dimaklumkan oleh seorang individu berhubung kejadian ‘culik’ itu.
“Ibu mangsa membuat laporan di balai polis dan kami terus bergegas ke lokasi kejadian. Apabila tiba di premis itu, suspek sedang mengacukan pedang berukuran 0.76 meter ke leher mangsa, sambil membawanya masuk ke dalam kereta BMW mangsa,” katanya pada sidang akhbar di Balai Polis Alam Damai, semalam.
Menurutnya, polis mengepung kenderaan tersebut di bahagian depan dan belakang, sebelum cuba berunding dengan suspek agar melepaskan mangsa, namun tidak diendahkan.
“Ibu mangsa terpaksa tawarkan diri untuk jadi tebusan agar anaknya dilepaskan. Suspek setuju dan bebaskan mangsa kira-kira jam 8 pagi, manakala ibu mangsa masuk ke dalam kereta dan menjadi tebusan selama tiga jam,” katanya.
Mohan Singh berkata, pihaknya cuba memujuk suspek secara baik untuk menyerah diri kerana bimbang akan keselamatan ibu mangsa.
Beliau berkata, selepas beberapa jam, suspek kemudiannya bersetuju untuk menyerahkan diri serta senjatanya, sebelum polis memecahkan cermin kereta untuk menahannya.
Katanya, mangsa dan ibunya dilaporkan selamat, manakala suspek yang mengalami luka serta calar di leher akibat pergelutan dengan polis, dihantar ke Pusat Perubatan Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) untuk rawatan lanjut.
sinar harian/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan