23 Ramadhan 1432H. [MOD] -
Bertakwa kepada Allah dengan mengikut segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya, maka sesungguhnya berjayalah orang-orang yang bertakwa, dan carilah bekalan, sebaik-baik bekalan ialah bertakwa kepada Allah.
Seterusnya marilah kita mengambil fadilat daripada bulan Ramadan Al-mubarak dengan menunaikan ibadat puasa yang diwajibkan dengan memenuhi segala rukun, syarat dan adab-adabnya supaya kita mendapat fadilat daripada ibadat fardu itu.
Fadilat atau kelebihan puasa bukan sahaja pahala besar yang dijanjikan oleh Allah, sepatutnya di dalamnya melatih diri kita sendiri untuk melawan nafsu syahwat yang dibantu oleh syaitan yang wujud dalam diri manusia sehingga menjadi perjuangan, perlawanan dan pertarungan di dalam dirinya itu.
Ibadat puasa yang diwajibkan oleh Allah adalah ajaran yang sangat mahal, melatih diri kita supaya menjadikan ibadat puasa itu sebagai perisai, penyangga yang menahankan diri kita daripada mengikut hawa nafsu syahwat yang dibantu oleh syaitan, dengan kita menahankan diri daripada perkara-perkara yang membatalkan puasa.
Kita menyuburkan iman dan takwa di dalam diri kita supaya sentiasa mengerjakan amal yang soleh, meninggalkan perkara-perkara yang dilarang oleh Allah SWT.
Sekiranya ibadat puasa ditunaikan dengan cara yang ikhlas kerana Allah SWT, ia melahirkan sifat takwa yang menentukan harga diri kita di sisi Allah SWT kerana Allah SWT meletakkan harga diri manusia itu bukan dengan rupa paras, warna kulit, harta dan pangkat, kedudukannya mengikut takwa yang ada di dalam diri masing-masing.
Firman Allah yang bermaksud: Wahai manusia, sesungguhnya Kami telah menjadikan kamu daripada seorang lelaki dan seorang perempuan, berbangsa-bangsa dan berpuak-puak supaya kamu berkenalan di antara satu sama lain dan yang paling mulia di kalangan kamu di sisi Allah ialah yang paling bertakwa kepada Allah SWT. (Surah al-Hujurat: 13)
Puasa juga dijanjikan dengan pahala yang sangat besar di sisi Allah SWT. Sabda Rasulullah s.a.w. diriwayatkan daripada Allah SWT, yang bermaksud: Tiap-tiap amal kebajikan yang dilakukan oleh anak Adam digandakan pahalanya tiap-tiap satu amalan diberi sepuluh kali ganda pahalanya, melainkan puasa, terpulang kepada Aku, Akulah yang menentukan pahalanya, dia meninggalkan nafsu syahwatnya, meninggalkan makanan kerana Aku.
Itulah janji yang benar daripada Allah SWT yang disampaikan oleh nabi dan rasul yang benar. Di sana ada lagi hadis-hadis yang lain yang menunjukkan pahala yang besar yang dijanjikan oleh Allah SWT, di antaranya sabda Rasulullah s.a.w. (maksudnya): Barangsiapa yang melakukan satu amalan sunat di bulan Ramadan diberi kapadanya pahala mengerjakan amal fardu yang diwajibkan, barang siapa yang menunaikan ibadat fardu yang diwajibkan kepadanya di bulan Ramadan, diberikan kepadanya tujuh kali ganda pahala.
Dan sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: Satu sembahyang di bulan Ramadan diberi pahala laksana seribu sembahyang dan satu tasbih yang diucapkan padanya diberi kelebihan seribu tasbih. Itulah bulan Ramadan, bulan yang dihidangkan kita dengan fadilat dan pahala yang besar daripada Allah SWT.
Marilah kita merebut peluang yang berharga, yang diberikan oleh Allah yang membawa kebaikan dunia dan akhirat. Kebaikan dunia, melatih diri kita menjadi orang yang soleh, orang yang baik, yang hidup di bumi Allah dengan mengerjakan amal yang baik dan meninggalkan kejahatan.
Janji di akhirat, pahala yang besar yang dikurniakan dengan berlipat kali ganda sehingga tidak terhingga kelebihannya.
Marilah kita menjadi orang yang beriman, bukan sahaja beriman kepada Allah dan rasul-Nya termasuk beriman dengan janji Allah dan rasul-Nya daripada kelebihan puasa yang dinyatakan itu.
Firman Allah yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana yang diwajibkan ke atas orang-orang yang lebih dahulu daripada kamu supaya kamu menjadi orang-orang yang bertakwa. (Surah Al-Baqarah: 183)
oleh Naim Qlate
1 ulasan:
SELAMAT HARI RAYA MAAF ZAHIR DAN BATIN DARI KAMI PAS KAWASAN BERUAS UNTUK USTAZ SEISI KELUARGA DAN MUSLIMIN DAN MUSLIMAT.
Catat Ulasan