28 September 2011

Penduduk Kg Baru diajak tolak rang undang-undang

1 Zulkaedah 1432H. [MOD] -



KUALA LUMPUR, 27 Sept: Dewan Pemuda PAS Kawasan Titiwangsa (DPPKT) mengharapkan lebih ramai penduduk Kampung Baru tampil ke depan bagi mendesak kerajaan menarik balik bacaan kali kedua Rang Undang-Undang Perbadanan Kampong Baru di Parlimen pada bulan Oktober nanti.
Isu utama yang mereka bangkitkan adalah imuniti yang diberikan kepada rang undang-undang ini.

Desakan itu dibuat kepada kerajaan khususnya Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin.

"DPPKT sanggup menyediakan ruang buat penduduk Kampung Baru menyuarakan rasa hati mereka jika mereka sanggup berbuat demikian. Ini kerana isu Kampung Baru bukanlah isu politik yang boleh dipolemikkan. Ia adalah isu Orang Melayu dan survival Orang Melayu di Kuala Lumpur bergantung kepada isu Kampung Baru," kata Mohamad Shuhaimi Abdul Aziz (gambar) , Ketua Pemuda PAS Titiwangsa.


Mereka juga menyokong desakan Salahuddin Ayub supaya Rang Undang-Undang Perbadanan Kampung Baru ditarik balik kerana ia tidak matang untuk dibentangkan di Parlimen nanti.

"Mengapa kerajaan perlu tergesa-gesa untuk membentangkan di parlimen sedangkan majoriti penduduk masih tidak faham, bahkan ramai yang menolaknya? Mungkinkah ada sesuatu kepentingan lain disebalik pembentangan Rang Undang-Undang ini tanpa pengetahuan umum?" katanya.


Ramai yang membantah kerana beberapa item yang terkandung di dalam Rang Undang-Undang tersebut yang secara jelas kesannya akan mengenepikan MAS (Lembaga Pentadbir Penempatan Pertanian Melayu) sebagai pentadbir Kampung Baru yang telah mentadbir selama 111 tahun lamanya.

Yang menghairankan Pemuda PAS, mengapa perlu diwujudkan Perbadanan Kampung Baru sedangkan MAS telah sedia ada untuk mengawal dan mentadbir Kampung Baru.

Jika MAS bermasalah, ia perlu diperkemaskan dan diperkasakan, bukan digantikan dengan organisasi lain, katanya.

Selain itu, penduduk Kampung Baru bimbang kerana Perbadanan ini diberikan imuniti yang  membawa maksud ia tidak boleh dicabar di mana-mana mahkamah.

Ia beerti Perbadanan Kampung Baru kebal dari sebarang tindakan undang-undang dengan Menteri Wilayah Persekutuan pula diberikan kuasa mutlak dalam membuat sebarang keputusan.

"Secara logiknya, sesiapa yang membaca Rang Undang-Undang ini pasti menyatakan bahawa ia jelas berat sebelah," katanya.

Pemuda PAS turut menyokong agar perkembangan referendum rakyat didedahkan kepada penduduk Kampung Baru secara telus.

Dengan referendum ini barulah diketahui benarkah penduduk menyokong Rang Undang-Undang ini atau sebaliknya.

Mereka difahamkan hanya 30 peratus penduduk memulangkan borang referendum tersebut.

Jika benar demikian, bagaimana kerajaan boleh membuat keputusan dalam keadaan majoriti penduduk tidak diketahui sikap mereka.


Justeru, DPPKT bersama penduduk Kampung Baru membantah bacaan kali kedua Rang Undang-Undang Perbadanan Kampung Baru pada bulan Oktober nanti.

"Kampung Baru perlu dipertahankan, kerana hanya itulah sahaja warisan milik Orang Melayu di Kuala Lumpur ini. Sejarah akan mencatat jika ia dibentang dan diluluskan di Parlimen kelak, Kampung Baru akan hanya tinggal nama dalam buku sejarah untuk dibaca oleh generasi muda akan datang," katanya.
H/daily

Tiada ulasan: