28 September 2011

Pemuda PAS gesa Ismail bertindak waras

1 Zulkaedah 1432H. [MOD] -



KUALA LUMPUR, 27 Sept: Pemuda PAS menyeru Yang Dipertua Persatuan Bekas Tentera Malaysia Negeri Sembilan, Sazali Ismail agar bertindak waras dan matang dalam mendepani isu sejarah.
Pengerusi Pemulihan Demokrasi dan Mobilisasinya, Suhaizan Kaiat (gambar)menyatakan demikian sebagai respons berhubung kejadian pergaduhan antara ahli Perkasa dan penyokong PAS pada ceramah Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu di Seremban pada 24 September lalu dan kenyataan Sazali yang disiarkan akhbar Sinar Harian hari ini.
“Saya menasihatkan beliau agar tidak cepat melatah dan jangan 'kecoh-kecoh' kerana isu sejarah yang dibawakan oleh Timbalan Presiden PAS itu masih lagi bersifat abstrak dan boleh diperbincangkan lebih mendalam di meja-meja akademik dan intelektual,” ujarnya dalam satu kenyataan.
Justeru, beliau meminta Sazali tidak perlulah bertindak berlebih-lebihan dan emosi.
Bahkan Suhaizan mendesak agar Sazali lebih bersungguh-sungguh dalam memberikan respons, teguran dan perhatian terhadap isu undi pos yang berlaku di kalangan tentera berbanding isu sejarah yang masih tiada kata putus yang jelas.
“Saya mahu beliau berani menegur dan bertindak khususnya berkaitan kebarangkalian ruang manipulasi yang amat besar dalam sistem undi pos,” katanya yang juga Ketua Pemuda PAS Johor.
Beliau menambah, dalam sistem undi pos, kertas undi anggota tentera begitu berisiko untuk dimanipulasi dimana kertas undi berpotensi digunakan oleh pihak berkepentingan untuk menang secara undemocratic dalam pilihan raya.
Katanya, isu itu lebih dekat dengan Sazali yang pernah berada dalam perkhidmatan tentera.
Bahkan, ujarnya isu itu lebih signifikan jika beliau benar-benar ingin mempamerkan loyalty serta concernterhadap reformasi perjalanan sistem Pilihan Raya Umum (PRU) yang dilaung-laungkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib menjelang PRU 13 yang boleh berlaku pada bila-bila masa sahaja dari sekarang.
“Di peringkat pemuda PAS pula, kita bersedia untuk berjumpa dan memberikan penerangan kepada beliau jika beliau mahu.
“Bahkan, kita mempunyai bukti-bukti yang jelas beserta data berkaitan kes manipulasi undi pos ini,” ujarnya lagi.
Antaranya, kata beliau ialah pengakuan bekas anggota tentera sendiri yang terlibat memangkah kertas undi bagi pihak anggota tentera yang lain di mana kes itu sudah jelas.
“Oleh itu, saya minta agar beliau (Sazali) jangan salah fokus. Persoalan manipulasi undi pos ini sememangnya sudah jelas. Kita ada bukti. Anda perlu bertindak. This is your job!,” katanya.
H/daily

Tiada ulasan: