04 Oktober 2011

Hudud: MCA jangan buat tuduhan liar

6 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 4 Okt: Resolusi persidangan MCA yang menyatakan hukum hudud menghalang kebebasan beragama dan hak asasi individu menunjukkan tahap kelemahan yang sangat ketara khususnya dari sudut maklumat dan pengetahuan asas tentang Islam dalam Umno Barisan Nasional.

Menurut Bernama, MCA telah meluluskan satu resolusi menolak pelaksanaan hukum hudud bukan sahaja atas sebab ia bercanggah dengan rukun asas Perlembagaan Persekutuan, malah dituduh mereka, hukum hudud ini menghalang kebebasan beragama dan hak asasi individu.

“Kejahilan ini mencerminkan kepada rakyat betapa MCA yang menjadi komponen penting dalam BN selepas Umno, gagal menjaga perasaan umat Islam, sehingga meluluskan satu resolusi yang memalukan tentang Islam.

"Tidak timbul soal Islam menyekat kebebasan agama lain, atau menyekat amalan dan penghayatan agama lain,” terang Ketua Penerangan PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dalam satu kenyataan pagi ini.

Tuan Ibrahim juga menerangkan sekali lagi bahawa isu hudud bukanlah isu politik, ia adalah satu isu tuntutan agama untuk umat Islam. Beliau juga berharap tiada kengkangan dan campur tangan untuk mengutuk dan menghalang umat Islam dalam menghayati keperluan wajib agama mereka.

“Sehubungan itu, di atas sifat saling hormat menghormati dan toleransi beragama, golongan bukan Islam boleh tidak menyokong hudud, akan tetapi janganlah seperti MCA yang menuduh liar bahawa hukum hudud ini menghalang kebebasan beragama dan hak asasi individu,” nasihat beliau.

Tuan Ibrahim juga berhujah bahawa “Enakmen Jenayah Syariah Kelantan (1993) dan Terengganu (2003) yang telah diluluskan dalam kedua-dua Dewan Undangan Negeri harus diterima” kerana “ia telah melalui proses sistem demokrasi yang diperakui oleh perlembagaan negara.”

“Kedua- dua enakmen ini hanya dikenakan kepada orang Islam sahaja, Manakala golongan bukan Islam dikecualikan dari perundangan syarak kerana mereka bukan Islam,” terang beliau lagi.

PAS, katanya melihat suasana saling hormat-menghormati, memahami dan tidak mencampuri urusan agama lain perlu dikekalkan demi keharmonian negara.

Tambah beliau, rakyat Malaysia mesti memahami bahawa di sisi umat Islam melaksanakan perundangan Islam adalah sebahagian dari ajaran Islam yang mesti dilaksanakan, sebagaimana kewajipan sembahyang, puasa dan lain-lainnya.

“Perundangan Islam bersifat kawalan dan pencegahan agar masyarakat selamat dari anasir yang boleh merosakkan keharmonian masyarakat dan negara, di samping menjamin keselamatan nyawa, harta benda, maruah manusia, akal dan agama.

"Ia juga merupakan tujuan utama syariah Allah diturunkan. Kerana itu, melaksanakan peraturan Islam adalah tuntutan maqasid syariah, bukan sebalik sebagaimana yang didakwa oleh sebahagian golongan yang kurang arif tentang Islam,” terang Tuan Ibrahim, yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang.

Tambahnya, PAS juga menyeru dengan baik agar golongan yang tidak mengerti tentang perundangan Islam dan bukan ahlinya agar tidak membuat komentar yang bertentangan dengan realiti perundangan Islam itu.

“Jangan kelirukan lagi benda yang suci yang diturunkan Allah ini. Lihatlah MCA, umat Islam boleh menilai sendiri kesan pemerintahan Umno terhadap nama baik Islam,” kata beliau lagi.

PAS, katanya juga mengharapkan pakar perundangan dan mereka yang berautoriti dari sudut syarak tampil memberikan pandangan mereka, seperti para mufti, alim ulamak dan lainnya agar membantu masyarakat memahami sistem perundangan Islam ini.

Kepada yang tidak menyokong perundangan Islam, kata Tuan Ibrahim boleh terus tidak menyokong, namun ingin ditegaskan bahawa adalah amat tidak adil sekiranya golongan ini menyeru umat Islam melupakan hasrat ini selama-lamanya.

“Dalam konteks demokrasi negara, tugas melaksanakan syariat Allah kini bergantung pada keinginan – bak kata, nak seribu daya, tidak nak seribu alasan.

"Antara PAS dan Umno, umat Islam kini boleh melihat dengan jelas siapa yang seribu daya, dan siapa yang mempunyai seribu alasan dalam melaksanakan dan menerangkan syariat Allah secara dakwah kepada semua lapisan masyarakat,” kata beliau.

harakahdaily/-

Tiada ulasan: