27 Oktober 2011

MB S'gor ketuai delegasi tarik pelaburan Iran

29 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berlepas ke Iran Rabu lalu bagi menyertai misi pelaburan selama tiga hari ke Wilayah Gazvin.

Kunjungan tersebut bagi memenuhi undangan pemerintah wilayah berkenaan yang antara lain bertujuan mengukuhkan hubungan perdagangan antara Kerajaan Negeri Selangor dan Wilayah Gazvin.

Sepanjang lawatan tiga hari ini, menteri besar yang mengetuai 16 anggota delegasi, akan mengadakan pertemuan dengan gabenor dan pegawai kanan wilayah Gazvin (bahagian sektor awam dan swasta) selain perbincangan perniagaan bersama Dewan Perdagangan dan Perindustrian Wilayah Gazvin.

Beliau juga dijadual mengadakan lawatan ke MAPNA's Gas & Electric Turbine and Locomotive Plant, Universiti Antarabangsa Imam Khomeini dan Taman Sains dan Teknologi Qazvin.

Misi pelaburan tersebut disertai exco kerajaan negeri Selangor, Rodziah Ismail, Dr Halimah Ali, Yaakob Sapari, Ronnie Liu di samping pegawai-pegawai kanan Jabatan Pertanian, PKNS, Universiti Selangor (UNISEL), Tourism Selangor, KDEB dan SSIC.

Delegasi kerajaan negeri Selangor itu dijangka kembali ke tanahair Isnin ini, demikian menurut kenyataan sekretariat akhbar pejabat menteri besar.

Dalam tempoh Januari hingga Julai 2011, jumlah pelaburan Iran di Selangor hanyalah RM1 juta dan kerajaan Selangor berharap jumlah pelaburan ini dapat ditingkatkan dalam pelbagai sektor ekonomi.

MALAYSIAKINI/-

Tiada ulasan: