27 Oktober 2011

Banduan Turki mengamuk

29 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

VAN - Banduan membakar sebuah penjara di bandar Van, Turki, di mana gempa bumi kuat berlaku, semasa cubaan melepaskan diri selepas satu lagi gempa susulan kuat berlaku, kelmarin.

Menurut pihak berkuasa, ratusan banduan menyerang pengawal penjara menggunakan gunting dan pisau, dua hari selepas 200 tahanan dilaporkan terlepas daripada penjara semasa kekecohan akibat gempa.

“Banduan memulakan kebakaran kerana marah tidak dibenarkan keluar daripada sel masing-masing selepas gempa susulan kuat berlaku,” menurut jurucakap kerajaan tempatan.

Media Turki melaporkan, 200 banduan terlepas, Ahad lalu, selepas gempa bumi pertama berkekuatan 7.2 pada skala Richter menyebabkan satu dinding penjara runtuh, tetapi 50 banduan kembali semula ke penjara selepas pulang ke rumah bagi memeriksa keselamatan keluarga mereka.

Sementara itu, seorang wanita berumur 27 tahun diselamatkan selepas tiga hari terperangkap di bawah runtuhan bangunan, semalam, dan kini masih menerima rawatan di hospital.

Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan, semalam, mendakwa pembinaan bangunan menggunakan bahan tidak bermutu sebagai punca utama angka korban tinggi.

“Turki tidak belajar daripada gempa bumi lalu yang memusnahkan bangunan tidak bermutu,” katanya.

Sehingga kini, gempa kuat itu meragut lebih 400 nyawa dan menyebabkan puluhan ribu yang lain hilang tempat tinggal.

sinar harian/-

Tiada ulasan: