24 November 2011

Auku: Jangan ulangi janji mansuh ISA

28 Zulhijjah 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 24 Nov: Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis) menyambut baik pengumuman yang dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang akan meminda Seksyen 15, Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) bagi membolehkan pelajar institusi pengajian tinggi berusia 21 tahun ke atas menganggotai parti-parti politik.

Menurut Ketua Penerangan Gamis Pusat, Mohd Yusof Hadhari (gambar), kenyataan tersebut menunjukkan bahawa kerajaan yang sedia ada sudah mula faham dan akur dengan desak pelbagai pihak yang saban tahun memperjuangkan permansuhan Auku sejak Tun Dr Mahathir Mohamad lagi iaitu pada tahun 1971 berikutan demonstrasi Baling di Kedah.

Katanya, setiap undang-undang yang digubal berdiri atas satu-satu niat penggubalan, begitu juga dengan Auku.

“Saya melihat Auku ini digubal bertitik tolak pada beberapa peristiwa antaranya PMUM isytihar manifesto sokong pembangkang dalam PRU ke-4 sehingga tercetusnya Persitiwa 13 Mei 1969.

“Juga Demonstrasi Anti Tunku oleh PMUM di Universiti Malaya pada 29 Ogos 1969 dan Demonstrasi ‘Papan Tanda’ 5 Okt 1970 iaitu pertembungan PMUM dan PBMUM sehingga membuka terlalu banyak kelemahan Kerajaan dalam isu bahasa Melayu dan pendidikan,” ujarnya kepada Harakahdaily.

Setelah itu, katanya kerajaan membentuk ‘Jawatankuasa Mengkaji Kampus’ sehingga tergubal dan diwartakan Auku pd 18 Mac 1971.

Ini, ujarnya membuktikan niat Auku digubal untuk sebenarnya ialah untuk menutup ‘pekung’ kerajaan sebenarnya.

“Saya juga melihat Auku ini juga membunuh aktivisme mahasiswa. Mahasiswa tidak lagi bebas berfikir, berpersatuan, menyuarakan pandangan secara idealis dan akademik malah kehidupan mereka sentiasa diancam,” katanya lagi.

Natijahnya, tambah beliau mahasiswa Malaysia saban ini tidak lagi menjadi jurubicara ummah demi pembangunan negara sebagaimana mahasiswa Malaysia pada era 1960-an dan 1970-an, malah ianya turut terkesan kepada pensyarah-pensyarah universiti.

“Gamis harapkan pengumuman ini tidak berulang sepertimana pengumuman mansuhkan ISA yang lalu, sehingga kini masih menjadi tanda tanya pada rakyat bila akan mansuh,” katanya.

HARAKAHDAILY/-

Tiada ulasan: