24 November 2011

Bajet Ketua Menteri tidak mesra rakyat!

28 Zulhijjah 1432H. [MOD] -

Kuching-23 November 2011, Dewan Pemuda PAS Negeri Sarawak (DPPNS) hari ini secara terperinci telah meneliti dan memahami bajet Negeri Sarawak yang telah dibentangkan pada persidangan DUN yang lepas oleh Ketua Menteri (KM) Sarawak Pehin sri Hj. Abdul Taib Mahmud. Secara umum, bajet KM tidak terperinci dalam menjelaskan ke mana wang negeri dibelanjakan.

Pembahagian peruntukan lebih kepada sektor-sektor umum dan bukan projek-projek khusus. Bajet KM juga dilihat amat pro-industri dan bukan pro-rakyat. Tiada peruntukan jelas untuk mengurangkan tahap kemiskinan negeri yang dianggarkan pada 27,065 keluarga mengikut PLI sedia ada (2009). Bajet Pakatan rakyat (PR) pula memperuntukkan RM 100 juta khusus untuk golongan miskin ini & tambahan RM 117 juta untuk bonus warga emas.

Ini tidak termasuk program peningkatan pendapatan seramai 250,000 pekerja Sarawak yang berjumlah RM 300 juta (Program ‘Fair Wage’).

Menurut DPPNS lagi, tiada peruntukan jelas untuk meningkatkan tahap pendidikan pelajar-pelajar Sarawak di semua peringkat. Ini berkemungkinan kerana Kerajaan BN Sarawak melihat ini sebagai tanggungjawab Kerajaan Pusat.

Lebih membimbangkan lagi, tiada peruntukan jelas untuk pembangunan Islam dan sekolah-sekolah Islam di Sarawak. Walaupun diterajui oleh KM yang Muslim, masih tiada peruntukan jelas untuk pembangunan Islam dan umat Islam Sarawak.

Bajet KM juga amat fokus kepada pembangunan sektor perindustrian melalui SCORE dan pelancongan dengan peruntukan 56.8% daripada perbelanjaan pembangunan. Walau bagaimanapun, pembahagian antara 2 sektor ini tidak dinyatakan.

Dalam satu perspektif lain, sebenarnya, kedua-dua sektor ini saling bertentangan antara satu sama lain kerana sektor industri selalunya mencemarkan persekitaran dan tidak hijau.

Bukan setakat itu Bajet yang disifatkan hanya melepaskan batuk di tangga ini juga menunjukkan tiada peruntukan yang jelas untuk membangunkan tenaga kerja berkemahiran bagi menyokong SCORE dan berkemungkinan akan menyebabkan lambakan pekerja-pekerja mahir asing akan berlaku di Sarawak jika tiada tindakan serius dari Kerajaan Negeri yang boleh menjejaskan peluang penduduk tempatan. Berikut adalah beberapa butiran dalam bajet KM dan bezanya dengan bajet mesra rakyat PR:

i. Anggaran pendapatan oleh BN dengan ‘growth rate’ = 5% ialah RM4.043 bilion vs
Anggaran pendapatan oleh PR dengan ‘growth rate’ = 4% (lebih konservatif) = RM 4.500 bilion  jelas menunjukkan tahap kecekapan yang rendah oleh BN dalam mentadbir negeri.

ii. Lebihan pendapatan oleh BN hanya RM 79 juta vs PR sebanyak RM 215 juta .
*Walau bagaimanapun terdapat kekeliruan dalam bajet KM ini, di m/s 15 dalam tajuk ‘Expenditure Estimates 2012’ dinyatakan perbelanjaan pembangunan = RM 2.550 bilion

(rujuk poin 1.ii.b) tetapi kemudiannya dalam tajuk ‘Development Expenditure Estimates 2012’ dinyatakan jumlah perbelanjaan pembangunan = RM 3.263 bilion (rujuk poin 3). Jika jumlah RM 3.263 bilion digunakan (tambahan pula, jumlah ini yang diperincikan peruntukan-peruntukannya), sepatutnya bajet ini adalah bajet defisit sebanyak RM 634 juta (-15.7%)!

iii. Pemisahan hasil cukai loteri berjumlah RM 100 juta daripada bantuan-bantuan yang mungkin akan disalurkan kepada rakyat Muslim.

iv. Pendapatan negeri terlalu bergantung kepada hasil tidak boleh diperbaharui iaitu sebanyak 52.9% (perhutanan, petroleum & gas) dan jika hanya petroleum & gas diambil kira, kebergantungan adalah sebanyak 40.3%. Kerajaan negeri gagal mempelbagaikan sumber pendapatan negeri.

v. Tiada peruntukan yang jelas untuk membangunkan tenaga kerja berkemahiran bagi menyokong SCORE.

Justeru DPPNS berharap agar rakyat mula menilai kecekapan KM dan juga Menteri kewangan yang hanya sekadar “melepaskan batuk ditangga” sahaja dalam pengurusan kewangannya. Sedarlah bahawa hasil negeri ini yang begitu kaya disalurkan hanya kepada tumpuan industry semata-mata. Rakyat juga patut sedar bahawa Mereka (BN) tidak lebih hanyalah untuk member kesenangan kepada kroni masing-masing.


Zharudin Narudin/-

Tiada ulasan: