24 November 2011

Kg Baru: Pemuda PAS Titiwangsa kecewa sikap MAS

28 Zulhijjah 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 24 Nov: Dewan Pemuda PAS Kawasan Titiwangsa (DPPK Titiwangsa) mencabar Lembaga Pentadbir Penempatan Pertanian Melayu (MAS) agar memainkan peranan penting sebagai pembela tanah penduduk Kampung Baru sebagaimana yang dimainkan oleh Sekretariat Pembangunan Kampung Baru (SPKB).

Timbalan ketuanya, Mohd Shahir Abu Hassan berkata, DPPK Titiwangsa berpandangan, MAS sejak akhir-akhir ini tidak memainkan peranan dalam membela tanah orang Melayu di kampung warisan tersebut, sehingga ia akhirnya terlepas ke tangan pihak lain.

“DPPK Titiwangsa merasa sedih kerana sejak ura-ura Rang Undang-Undang Perbadanan Pembangunan Kampung Baru hendak dibentangkan dalam bacaan kali pertama tahun 2010, sehinggalah ia dibentang dan diluluskan di Parlimen bulan Oktober 2011, MAS tidak langsung membantah isu ini, bahkan menyokongnya pula,” ujarnya Harakahdaily.

Tambahnya, lebih memeranjatkan apabila MAS turut ‘bersubahat’ dengan cuba menafikan peranan Menteri Besar Selangor dan Kerajaan Selangor untuk membantu menyelamatkan hak penduduk Kampung Baru.

Sepatutnya, kata beliau MAS berterima kasih kerana keprihatinan kerajaan Selangor di bawah Pakatan Rakyat yang cuba sedaya upaya memastikan Kampung Baru dimiliki oleh penduduk asalnya.

Sebaliknya, ujar beliau Sekretariat Pembangunan Kampung Baru yang diterajui oleh Saudara Ahmad Zamri Asa’ad Khuzaimi pula bangkit membela nasib penduduk Kampung Baru.

Beliau berkata, rakyat khususnya penduduk Kampung Baru melihat SPKB lebih berperanan aktif dan lantang dalam memastikan isu Kampung Baru diperjuangkan sebaiknya.

“Dalam hal ini, DPPK Titiwangsa mengingatkan MAS, jangan sampai rakyat melupai jasa dan sejarah panjang MAS sehingga menjadi bahan cemuhan malah sebaliknya mengangkat Saudara Ahmad Zamri dan SPKB sebagai ikon baru Kampung Baru.

“Justeru, DPP Kawasan Titiwangsa mendesak agar MAS kembali kepada perjuangan asal bagi memastikan jawatankuasanya lebih proaktif dan menjadi ‘mata’ dan ‘telinga’ penduduk Kampung Baru dalam Perbadanan Pembangunan Kampung Baru,” ujarnya lagi.

Sehubungan itu, katanya DPPK Titiwangsa meminta agar setiap rancangan atau cadangan pembangunan Kampung Baru dibincangkan dahulu dengan penduduk Kampung Baru dan dapatkan persetujuan mereka, dan tidak dibuat secara melulu.

Selainnya, tambah beliau DPPK Titiwangsa mengharapkan MAS akan utamakan kepentingan penduduk lebih daripada menuruti nafsu sesetengah pihak yang gelojoh mahu meratah tanah ‘emas’ warisan orang Melayu itu.

HARAKAHDAILY/-

Tiada ulasan: